
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengumumkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membatalkan notifikasi Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream kerana mengandungi merkuri.
Beliau menggesa semua penjual dan pengedar produk terbabit agar menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta merta.
“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik.
Mereka yang melakukan kesalahan itu berdepan denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.”
Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar menghentikan penggunaan produk terbabit dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play,” katanya.