Wan Saiful kritik kerajaan lewat naikkan cukai vape

Wan Saiful kritik kerajaan lewat naikkan cukai vape

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyebut KKM sebelum ini pernah cadang kenaikan daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter.

Vape
Jika tidak diletakkan harga minimum, produk vape akan kekal lebih murah daripada rokok dan mudah diperoleh oleh golongan pelajar, kata Wan Saiful Wan Jan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Wan Saiful Wan Jan (PN–Tasek Gelugor) mempersoalkan kegagalan kerajaan menaikkan cukai atau menetapkan harga minimum bagi produk vape, menyifatkannya sebagai peninggalan yang ketara dalam Belanjawan 2026.

Beliau berkata, walaupun kenaikan cukai rokok dua sen sebatang merupakan satu langkah positif, ketiadaan langkah serupa bagi vape adalah menghairankan, terutamanya memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mencadangkan kenaikan daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter.

“Mengapa cukai vape ini tidak disebut langsung dalam Belanjawan? Adakah Kementerian Kewangan menolak cadangan KKM?

“Adakah wujud percanggahan dasar antara dua kementerian dalam kerajaan yang sama?” soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Wan Saiful berkata, ketiadaan harga minimum yang cukup tinggi akan menyebabkan produk vape kekal lebih murah daripada rokok dan mudah diperoleh oleh golongan pelajar.

“Kalau sekiranya kerajaan benar-benar mahu dasar kawalan nikotin berkesan, bagi saya, harga minimum vape bernikotin mesti dilaksanakan segera.

“Sekurang-kurangnya pada kadar RM6 atau RM6.25 per mililiter agar ada pariti dengan harga rokok,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan kononnya cukai vape yang lebih tinggi tidak diperlukan berikutan rancangan pengharaman produk itu tahun depan, sebaliknya menggesa kerajaan agar bertindak segera.

“Kalau serius, buat sekarang. Jangan bagi alasan macam-macam nak tunggu penyelesaian masa depan,” katanya.

Pada September, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kementeriannya menyasarkan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape seawal pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, walaupun KKM komited dengan rancangan itu, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat kerana terdapat ‘banyak faktor yang perlu dipertimbangkan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.