
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pihaknya melaksanakan tindakan kawalan segera termasuk membuat saringan penjualan produk berkenaan di platform e-dagang, menyekat pautan penjual terlibat serta meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap penjual yang masih memasarkan produk terbabit.
Menurut KKM, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah mengesan 335 pautan iklan dan jualan produk itu oleh penjual tempatan dan luar negara, dan telah mengemukakan notifikasi aduan kepada pihak platform terbabit untuk menurunkan iklan bagi melindungi kesihatan pengguna.
Orang awam dinasihatkan menghentikan penggunaan produk ini serta-merta dan mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mengalami kesan sampingan atau gejala mencurigakan.
KKM turut menjelaskan bahawa penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952 dengan denda hingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh dikenakan denda hingga RM50,000.
KKM kekal proaktif menjalankan pemantauan terhadap iklan ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan termasuk di platform e-dagang bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956.
Menurut KKM bagi tempoh Januari hingga 30 Sept 2025, sebanyak 25,335 iklan perubatan telah disaring, manakala 1,958 pautan pelokasi sumber seragam (URL) dimohon untuk sekatan, selain 11,287 URL dinotifikasi kepada platform e-dagang tempatan untuk diturunkan.
Bagi tempoh sama, nilai rampasan produk tidak berdaftar yang direkodkan bagi tempoh sama berjumlah RM41.3 juta melibatkan 10,442 item.
Selain tindakan penguatkuasaan, BPF turut melaksanakan kempen kesedaran ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (TOBaTS) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan tidak sah dan maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh diperoleh di laman sesawang https://pharmacy.moh.gov.my/tobats.
KKM turut menasihati orang ramai supaya menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran (MAL) sebelum membuat pembelian dan semakan juga boleh dilakukan di laman web www.npra.gov.my pada ruangan ‘Product Search’.
Aduan dan maklumat mengenai penjualan ubat tidak berdaftar boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my serta mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi terdekat atau talian 03-7841 3200 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.