
PETALING JAYA: Seorang pekerja kontraktor warga Bangladesh maut manakala seorang lagi rakannya cedera selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan projek berhampiran Cybersouth, Dengkil, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Muhktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.19 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
“Kedua-dua mangsa lelaki warga Bangladesh merupakan pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Mangsa dilaporkan tertimbus di bawah tanah semasa menjalankan kerja-kerja di tapak,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Mukhlis berkata, seorang disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi, manakala seorang lagi mangsa patah tangan.