
Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata lelaki berusia 65 tahun itu menerima sistem pesanan ringkas (SMS) berkaitan penggunaan kad kredit pembelian barang tidak dilakukannya.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu yang mendakwa pegawai bank sebelum bertindak menyerahkan maklumat perbankan.
“Mangsa yang berasa takut menyerahkan nombor kad bank, kod kebenaran transaksi (TAC) dan kad kredit seperti diminta suspek,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu selepas menyemak akaun banknya dan terdapat pengurangan wang sebanyak RM140,520.
Dalam kes berasingan, Ramli memaklumkan seorang warga emas kerugian RM87,000 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Katanya, wanita berusia 70 tahun itu mendakwa ditawarkan satu skim pelaburan menerusi WhatsApp pada November lalu.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu menggunakan wang simpanannya melakukan empat transaksi berjumlah RM87,000 sebelum menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan hasil keuntungan daripada akaun diberikan suspek,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa membuat laporan masing-masing di IPD Kuantan dan Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.