Edar dadah: 2 sahabat terlepas hukuman gantung

Edar dadah: 2 sahabat terlepas hukuman gantung

Ia selepas mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi bagi mengetepikan hukuman gantung iaitu mengedar kepada memiliki dadah.

Mohd Shazril Hafez Ibrahim dan Ahmad Sawal Ramle yang terlepas hukuman gantung dipenjara 12 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki 626.55 gram dadah. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Dua sahabat terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan terhadap dua pertuduhan mengedar 626.55 gram dadah jenis methamphetamine, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Shazril Hafez Ibrahim, 29, dan Ahmad Sawal Ramle, 32, selaku perayu disabitkan terhadap kesalahan memiliki dadah itu dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili kedua-dua perayu memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi mereka bagi mengetepikan hukuman gantung iaitu mengedar kepada memiliki dadah tersebut.

“Setelah mempertimbangkan mitigasi kedua-dua perayu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 2 Feb 2018,” katanya yang turut bersidang bersama Hakim Supang Lian dan Ahmad Nasfy Yasin.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 626.55 gram methamphetamine dalam sebuah rumah di Jalan Kuala Berang, Kampung Padang Midin, Bukit Payong, Marang, Terengganu pada 6.30 petang, 8 Feb 2018.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hisyam Mohd Jaafar.

Pada Januari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua lelaki itu setelah mereka didapati bersalah mengedar 626.55 gram methamphetamine.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.