Bawa ke mahkamah, Fadillah beritahu Dr M berkait dakwaan rasuah pada PRU15

Bawa ke mahkamah, Fadillah beritahu Dr M berkait dakwaan rasuah pada PRU15

Dakwaan rasuah mesti dibuktikan di mahkamah iaitu saluran yang betul seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata dalam kerajaan banyak agensi dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara berkaitan rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyarankan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU15 kerana merasakan wujud unsur rasuah memfailkan petisyen bantahan di mahkamah.

Beliau berkata, perkara itu perlu dibuktikan di mahkamah yang merupakan saluran yang betul seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau sekadar cakap, saya kira ramai boleh cakap, tapi bawa ke mahkamah, itu tempat yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan dan segala peraturan.

“Jadi siapa tak puas hati, buktikan (keputusan) PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa hampir semua calon PRU15 yang menang menawarkan rasuah.

Bekas perdana menteri itu mendakwa, parti calon terbabit membelanjakan ratusan juta ringgit untuk berkempen. Malah, katanya rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerima rasuah sejurus sebelum masuk mengundi.

PRU15 ialah pilihan raya paling korup pernah diadakan di Malaysia, menurutnya.

Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, dalam kerajaan banyak agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara berkaitan rasuah.

“Biarlah agensi laksana tugas, dan peranan mereka kalau terbukti nak bawa ke muka pengadilan, dan proses pilihan raya Malaysia, kalau dapat buktikan, mereka boleh failkan untuk bawa ke mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.