
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mat Kasim Karim, berkata ia melibatkan 1,724 kenderaan dengan kereta mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 1,310 kes, diikuti pacuan empat roda dengan 230 kes, motosikal (144), lori (17), bas (11), van (sembilan), teksi (dua), dan ambulans (satu).
Dalam pada itu, polis menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
“Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya selain mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Kasim berkata tumpuan lokasi advokasi adalah di stesen-stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, restoran, dan pusat beli-belah.
Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan sempena Tahun Baharu Cina.