Laporan Audit 2021: Tidak banyak ketirisan berlaku di kementerian saya, kata Zahid

Laporan Audit 2021: Tidak banyak ketirisan berlaku di kementerian saya, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata beliau memaklumkan kepada pengurusan tertinggi kementerian agar mengambil langkah segera terhadap teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Ahmad Zahid Hamidi memberitahu menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2021, beliau mendapati tidak banyak ketirisan berlaku di kementerian yang diterajuinya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak banyak ketirisan berlaku di kementerian diterajuinya menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Bagaimanapun, timbalan perdana menteri itu berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pengurusan tertinggi kementerian agar mengambil langkah segera terhadap teguran dalam laporan berkenaan sekiranya berlaku salah laku.

“Kami jemaah menteri telah meneliti laporan ketua audit itu dan saya beritahu mesyuarat pengurusan tertinggi KKDW semalam bahawa kita mesti ambil langkah segera untuk mengatasi dapatan kajian audit yang memfokuskan jika ada ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau sebarang perkara melibatkan kewangan dan pengurusan.

“Maka ini mesti diberi tumpuan segera oleh pihak tertinggi pengurusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat Felcra Berhad.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam meminta semua menteri meneliti secara serius setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 terutama melibatkan soal perbelanjaan, ketirisan, atau tidak menepati syarat serta peraturan dalam peruntukan kewangan.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, pelantikan pengerusi Felcra diselaraskan dengan pelantikan agensi kerajaan lain.

Pada 16 Dis, Zahid melantik semula bekas Ahli Parlimen Machang Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra biarpun Jemaah Menteri memutuskan supaya semua jawatan politik dalam GLC ditamatkan.

Zahid menjelaskan, lantikan semula Jazlan selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta Malaysia Berhad.

Bagaimanapun, pelantikan itu ditangguhkan oleh Anwar selepas enam hari pengumuman dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.