
“Semua tuduhan terhadap saya adalah tidak berasas,” katanya merujuk kepada beberapa pernyataan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Low Chin How.
Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela M Athimulan di Mahkamah Sesyen, bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra itu menafikan menetapkan wang perlu dibayar kepada isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, sebanyak RM3.5 juta.
Low turut mencadangkan Norhaili Mokhtar, seorang ejen Public Mutual Bhd telah memohon pengurangan wang itu.
Athimulan: TPR mengemukakan kepada anda bahawa anda bersetuju agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2.8 juta, dan mengarahkan isteri anda untuk menguruskan penerimaannya, dan anda menjawab anda tidak bersetuju. Mengapa?
Bung: Saya bersumpah (kenyataan-kenyataan TPR) tidak benar. Kedua-dua saksi (Norhaili dan rakan sejawatnya Madhi Hamid) tidak pernah memberi keterangan bahawa wang akan diberikan kepada isteri saya. Semua ini hanyalah rekaan semata-mata oleh TPR.
Bung turut membuat penegasan sekali lagi beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai perbincangan yang mungkin berlaku antara isterinya dan ejen itu, sambil berkata keterangannya secara konsisten telah menunjukkan beliau tidak terlibat dalam sebarang rundingan.
Beliau meminta mahkamah merujuk keterangan Norhaili dan Madhi bagi memastikan sama ada terdapat sebarang perbincangan melibatkannya mengenai wang pengenalan, dan sama ada beliau ada meminta RM3.5 juta, RM3 juta, atau RM2.8 juta daripada mereka.
“Tiada satu pun dakwaan ini disokong dengan fakta,” katanya.
Bung, 65, berdepan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra bagi melabur RM150 juta dalam amanah saham Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah itu daripada Madhi melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.
Bung turut berdepan pertuduhan berasingan menerima RM337,500 daripada Norhaili atas nama Zizie di bank yang sama, pada 19 Jun 2015.
Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam melakukan kesalahan didakwa itu.
Pendengaran di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 27 Nov.