Bung ‘terkejut’ dapat tahu isteri terima RM2.8 juta

Bung ‘terkejut’ dapat tahu isteri terima RM2.8 juta

Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga bekas pengerusi Felcra dakwa hanya sedar perkara itu selepas dipanggil SPRM pada 2016.

bung zizie
Bung Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad didakwa terima suapan RM2.8 juta daripada 2 ejen untuk dapatkan pelaburan Felcra berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa dia ‘terkejut’ apabila mendapat tahu isterinya menerima RM2.8 juta daripada dua ejen unit amanah, ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian selepas mahkamah diberitahu bahawa Zizie Izette Abdul Samad menerima wang itu sebagai yuran pengenalan selepas membantu ejen Norhaili Mokhtar and Madhi Hamid mendapatkan pelaburan Felcra Bhd bernilai RM150 juta pada 2015.

Bung pada ketika itu merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra.

Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How, Bung tetap dengan pendiriannya bahawa dia tidak tahu-menahu mengenai wang tersebut.

Low: Kamu dakwa hanya tahu tentang perkara ini (Zizie terima RM2.8 juta) apabila dipanggil SPRM?

Bung: Betul.

Low: Sudah tentu pada masa itu kamu sangat marah dan sedih?

Bung: Saya terkejut dengan apa yang telah berlaku.

Bung berkata, dia tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai transaksi itu untuk membersihkan namanya kerana dia dan isterinya sudahpun disiasat oleh SPRM.

Dia bersetuju dengan Low bahawa dia tidak pernah mengarahkan Zizie untuk memulangkan wang tersebut kepada Norhaili atau Felcra, namun pada masa yang sama tidak pasti sama ada Zizie sendiri telah memulangkannya kepada mana-mana pihak.

Bung juga menafikan tahu apa-apa apabila ditanya sama ada dia tahu bahawa Zizie telah melaburkan RM1 juta dalam Public Mutual Bhd melalui Norhaili.

Low kemudiannya menyatakan bahawa Norhaili cuba untuk mendapatkan pelaburan daripada Felcra ketika Tajuddin Rahman menjadi pengerusi, sebelum Bung, tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun, Bung bersetuju bahawa Norhaili berjaya mendapatkan pelaburan RM150 juta Felcra semasa dia menjadi pengerusi.

Bung didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia dituduh menerima suapan itu daripada Madhi Hamid melalui Zizie di Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung turut didakwa atas tuduhan ketiga, iaitu menerima RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Zizie di lokasi sama pada 19 Jun 2015.

Zizie pula menghadapi tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya bagi kesalahan yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.