
Karnival sehingga 3 Ogos depan itu merupakan gabungan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Sambutan Hari Peneroka Felda (HPF) oleh Felda dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Menurut KKDW, karnival itu disertai lebih 1,000 usahawan dan pempamer, dengan 882 reruai keusahawanan dibuka.
“MK3D 2025 hari ini telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records: Largest Entrepreneurship Fair di mana anugerah ini telah diterima timbalan menteri Rubiah Wang,” menurut KKDW dalam kenyataan.
Pada masa sama, KKDW berkata, Rubiah turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad.
“Inisiatif kerjasama melibatkan lima bidang utama termasuk perladangan, pengilangan dan perkilangan, penternakan dan pertanian asas tani dijangka dapat merangsang pertumbuhan sektor ekonomi desa secara mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
Selain itu, turut dilancarkan platform digital i-Mesra, inovasi terkini bagi memperkasa usahawan sektor makanan dan minuman (F&B) melalui akses kepada teknologi digital, saluran pembiayaan dan pengurusan rantaian bekalan secara lebih cekap.
“Platform i-Mesra ini juga berfungsi sebagai sistem rujukan pra-halal digital yang membantu pengusaha makanan mengurus inventori bahan ramuan yang digunakan dalam penyediaan menu masakan dan minuman di premis-premis yang berdaftar.
“Ia disokong sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kini akan dilaksanakan secara strategik bawah KKDW,” katanya.