Kes Anna Jenkins: Pegawai penyiasat disoal peguam keluarga

Kes Anna Jenkins: Pegawai penyiasat disoal peguam keluarga

Azrul Azizan Mat Rawi berkata polis telah melakukan sebaiknya dalam memeriksa kawasan di mana sisa tulang mangsa ditemui.

Azrul Azizan Mat Rawi, pegawai penyiasat kes kematian Anna Jenkins berkata pengkelasan kes itu diputuskan pegawai lebih tinggi.
GEORGE TOWN:
Azrul Azizan Mat Rawi, pegawai penyiasat kes kematian Anna Jenkins yang hilang di Pulau Pinang pada 2017, hari ini disoal peguam keluarga wanita itu.

Peguam S Raveentharan menyoal sama ada Azrul telah melakukan tugasnya sebaiknya, dan menyiasat siapa yang menanam semula sisa mayat Jenkins.

Azrul berkata polis telah melakukan sebaiknya untuk memeriksa kawasan di mana sisa tulang mangsa ditemui. Pengurus projek yang mengarahkan sisa tulang Jenkins ditanam semula juga telah memberikan penjelasan.

“Saya tidak diberitahu mengenai cubaan menanamnya semula. Saya cuma dibawa ke tempat di mana kami menemui sisa berkenaan.

“Pengurusan (syarikat pemaju banglo) membantu dan bekerjasama. Pekerja landskap yang menemui tulang-tulang itu diarahkan meletakkannya semula sepertimana ditemui untuk tujuan pengambilan gambar lokasi jenayah,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Terrence William Theseira, 56, pengurus projek Berjaya Land Development berkata beliau telah mengarahkan sisa tulang berkenaan ditanam semula. Sisa tulang berkenaan kemudian disahkan milik Jenkins – wanita kelahiran Malaysia yang menetap di Adelaide, Australia – menerusi ujian DNA, dua tahun lalu.

Polis kemudian menemui 18 lagi sisa tulang dalam pemeriksaan di tapak pembinaan berhampiran Turf Club.

Raveentharan turut menyoal Azrul bagaimana kes itu boleh diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sedangkan punca kematian belum ditentukan.

Azrul bagaimanapun berkata pengkelasan itu dibuat pegawai berpangkat lebih tinggi, lazimnya ketua jabatan siasatan jenayah atau ketua polis daerah.

Koroner Norsalha Hamzah akan membuat lawatan ke lokasi sisa mayat Jenkins ditemui esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.