Kes Ebit Lew: Polis lantik pakar analisis data dalam pemacu kilat

Kes Ebit Lew: Polis lantik pakar analisis data dalam pemacu kilat

Pakar itu ialah Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Yip Chang Ching yang juga saksi kelapan kes gangguan seksual berkenaan.

ebit lew
Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan melakukan gangguan seksual termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an. (Gambar Bernama)
TENOM:
Saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melantik seorang pakar forensik untuk membuat semakan kandungan data diperoleh daripada syarikat LGMS Berhad yang terdapat dalam satu pemacu kilat.

Saksi ke-18, Pegawai Penyiasat PDRM Noor Asyikin Shamsuri, 46, berkata pakar itu ialah Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Yip Chang Ching yang juga saksi kelapan kes gangguan seksual berkenaan.

Noor Asyikin berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Ram Singh yang mewakili Ebit Lew dalam pemeriksaan balas prosiding hari ini.

Menurut Noor Asyikin, beliau juga ada membuka dan menyemak kandungan dalam pemacu kilat itu semasa data dipindahkan daripada syarikat LGMS ke dalam pemacu kilat berkenaan, namun tidak menyemak keseluruhan data itu.

Noor Asyikin berkata beliau tidak menyemak semua data dalam pemacu kilat itu kerana boleh mendapatkan data daripada Yip jika dia (Noor Asyikin) menghendakinya.

Noor Asyikin: Dalam kes ini, maklumat yang dikehendaki adalah sebarang data, maklumat, gambar, perbualan yang berunsur seksual.

Ram: Adakah anda bersetuju bahawa Unit Forensik PDRM boleh mendapatkan mesej yang dipadam daripada pengadu?

Noor Asyikin: Sebahagiannya ya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala peguam Lew selain Ram, juga diwakili Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prabjit Singh Gill.

Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan melakukan gangguan seksual termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu bermula pada September 2022 dan 18 saksi pendakwaan telah memberi keterangan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan bersambung pada 24 hingga 25 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.