
Katanya, dalam tempoh dua bulan, beliau mengesan beberapa ketirisan berlaku dan kerajaan boleh menjimatkan dana kerajaan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion jika ia diuruskan dengan baik.
“Sama ada berkaitan udara laut, darat, mereka dipertanggungjawabkan mengusulkan jenis barangan yang terbaik dan kita runding dan tanpa campur tangan daripada politik atau kepentingan peniaga.
“Perolehan peralatan tentera, ini diserahkan kepada yang berupaya, ini boleh dikurangkan (pembaziran). Kita mengalami kebocoran yang tinggi dalam dua bulan bertugas, saya boleh mengenal pasti RM3 bilion hingga 4 bilion boleh jimatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, Anwar mahu kelulusan dibuat segera mengenai beberapa projek termasuk pembangunan ladang organik di Kuala Lumpur dan setiap ketua jabatan terlibat perlu mengambil tanggungjawab.
“Usul memperkenalkan ladang organik di Kuala Lumpur oleh syarikat besar mengambil masa dua tahun untuk mendapat kelulusan walaupun ekonomi hijau ini menjadi keutamaan.
“…lima tonggak untuk memulihkan ekonomi dan mengambil masa dua tahun, cakap kosong ini mesti dihentikan. Maknanya, keupayaan kita untuk beri kelulusan mesti lebih pantas. Ketua jabatan perlu bertanggungjawab sepenuhnya…jika tidak ia akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.
Saya tidak perlu mercu tanda baharu
Sementara itu, Anwar berkata, zaman pentadbirannya sebagai perdana menteri tidak lagi memerlukan bangunan mercu tanda di Kuala Lumpur.
Katanya, cukup bangunan hebat sedia ada yang dibangunkan sebelum seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan projek TRX (Tun Razak Exchange).
Beliau berkata, pembangunan di ibu kota sepatutnya menumpukan kepada golongan peniaga kecil dan warung terutama isu kebersihan.
“Saya kata cukup mercu tanda ‘twin tower’, TRX, saya kata ‘okay’. Bawah pentadbiran Anwar saya tidak berhajat buat lagi mercu tanda, zaman Anwar yang fikir ialah menjana keupayaan kota contoh dari segi kebersihan, keindahan dan ruang kepada golongan penjaja dan warung yang cecah ratus ribu keseluruhan.
“Tidak diberi tumpuan kerana gerai dan warung itu sangat jelik, dan sebab itu saya jadikan budaya setiap minggu (pada) hari Jumaat makan di warung,” katanya.