Kerajaan mohon tangguh penghakiman RM37 juta kepada keluarga pastor Koh

Kerajaan mohon tangguh penghakiman RM37 juta kepada keluarga pastor Koh

Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid berkata penangguhan itu dipohon atas alasan kes itu melibatkan sejumlah besar dana awam.

Susanna Liew, isteri Pastor Raymond Koh yang diculik pada Februari 2017.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memohon penangguhan pembayaran lebih RM37 juta dalam penghakiman yang diberikan kepada keluarga Pastor Raymond Koh yang hilang, susulan saman mereka terhadap kerajaan dan polis.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kerajaan memohon penangguhan itu atas alasan kes berkenaan melibatkan jumlah wang awam yang besar.

Beliau berkata, pembayaran tersebut juga memerlukan penyelarasan antara beberapa agensi kerajaan bagi menyalurkan dana ke dalam akaun amanah sekiranya pembayaran dibuat.

“Penangguhan (perintah mahkamah) ini tidak akan memprejudiskan plaintif (keluarga),” kata Farhana.

Beliau menegaskan tidak berlaku sebarang kelewatan dalam memfailkan permohonan penangguhan itu kerana ia dikemukakan selepas kerajaan memperoleh semua dokumen mahkamah yang diperlukan.

“Ini bukan isu kami (kerajaan) enggan mematuhi penghakiman,” tambahnya.

Peguam Jerald Gomez, yang mewakili keluarga Koh, membantah permohonan penangguhan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menafikan keluarga itu hasil daripada tindakan undang-undang mereka.

“Permohonan untuk menangguhkan penghakiman sepatutnya dibuat serta-merta selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya pada 5 Nov,” katanya, sambil menambah bahawa rayuan telah difailkan dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Hakim Mahazan Mat Taib menetapkan 26 Jan untuk keputusan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tahun lalu bahawa seorang atau lebih defendan, yang merupakan pegawai polis semasa dan bekas, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak atas arahan sembilan tahun lalu.

Hakim Su Tiang Joo mengarahkan sejumlah RM33 juta direkodkan sebagai keputusan penghakiman terhadap kerajaan atas ‘perbuatan salah’ yang dilakukan terhadap Koh. Namun, dana tersebut perlu disimpan dalam satu tabung amanah dan tidak boleh disalurkan terus kepada isteri Koh, Susanna Liew, serta tiga orang anak mereka sehingga keberadaan pastor itu dapat dipastikan.

Su turut mengarahkan pembayaran RM4 juta sebagai ganti rugi am dan teruk kepada Liew, selain kos sebanyak RM250,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.