
Mengambil contoh tindakan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang sering mengkritik termasuk melabelnya ‘nyonya tua’, timbalan ketua DAP Wilayah Persekutuan itu menyifatkan ia tidak bermakna seluruh ahli parti tersebut berkongsi sikap sama.
“Macam saya masih marah Akmal atas perbuatan dan kenyataan dia terhadap saya. Tapi ini tidak bermaksud seluruh Umno macam ini.
“Saya rasa kita harus beza-bezakan,” katanya ditemui FMT di Parlimen.
Dalam saman difailkan tahun lalu, Kok mendakwa video dimuat naik Akmal di Facebook, TikTok, dan Instagram bersifat memfitnah, tohmahan, libel, dan menghina.
Akmal memuat naik video tersebut sebagai tindak balas terhadap kenyataan Kok mengenai pensijilan halal, dengan menggelarnya sebagai seorang ‘nyonya tua’ dan mengatakan beliau tidak seharusnya campur tangan dalam urusan agama Islam.
Pada 12 Jan, mahkamah menetapkan kes itu dibicarakan pada 12 Feb selepas proses mediasi diperintahkan mahkamah gagal mencapai penyelesaian.
Ahli Parlimen Seputeh itu turut menekankan semua ahli rakan gabungan kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan bagi mengelakkan hubungan dalam pentadbiran terjejas.
Menurutnya, politik adalah satu proses dan evolusi dengan keutamaan kini memastikan parti dalam kerajaan perpaduan dapat mentadbir negara secara aman tanpa pertelingkahan politik serius.
“Apa yang penting ialah bila parti-parti politik bergabung, kita nak mentadbir negara ini bersama secara aman. Kalau ada perbezaan, kita bincang dan capai pandangan sepakat,” katanya.
Mengulas hubungan di peringkat kawasan, beliau berkata kerjasama dengan pemimpin Umno setempat berjalan baik, khususnya dalam isu kebajikan dan pembangunan komuniti di Seputeh.
“Di peringkat akar umbi, memang ada pandangan berbeza, itu biasa. Tapi bukan semua Umno bersikap keras. Kita kena terima hakikat ini.
“Seperti di Seputeh, bila orang Umno minta bantuan untuk masjid kita salurkan, malah majlis Aidilfitri juga kita sambut bersama,” katanya.