
Presiden Transparency International Malaysia, Raymon Ram, berkata banyak projek pertukaran tanah Kementah dilaksanakan melalui rundingan terus iaitu kaedah perolehan yang diiktiraf secara meluas sebagai berisiko tinggi kerana tahap budi bicara yang terlibat.
“Biarpun dakwaan ini serius dengan skala aset awam yang terlibat, rakyat Malaysia masih belum melihat sebarang penyelesaian bermakna, tiada garis masa yang jelas mengenai hasilnya dan tiada penjelasan telus sama ada pihak terbabit telah dipertanggungjawabkan.
“Dapatan tersebut juga masih sulit walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah meminta supaya laporan itu dinyahklasifikasikan,” katanya.
Raymon berkata, menamakan pelbagai institusi penguatkuasaan dan tadbir urus secara terbuka telah mengubah persepsi rasuah daripada dilihat sebagai salah laku terpencil kepada kegagalan tadbir urus yang bersifat sistemik.
Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran bahawa dakwaan rasuah yang melibatkan pegawai kanan tentera hanyalah ‘sekelumit daripada segunung’, sambil menambah rasuah juga berleluasa dalam kastam dan imigresen, polis, malah dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
Profesor undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Salawati Mat Basir, berkata rasuah dalam institusi penguatkuasaan dan tadbir urus merupakan rahsia umum dan semakin buruk sepanjang 10 tahun lalu.
Beliau menggesa SPRM menyiasat semua kes yang melibatkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa, termasuk urus niaga pertukaran tanah Mindef, kerana ia melibatkan tanah awam dan dana awam.
“Agensi itu tidak seharusnya menyiasat kes terpilih sahaja, walaupun berdepan tekanan dalam menentukan kes mana yang hendak diteruskan,” katanya.
Salawati berkata, kes melibatkan kerajaan dan dana awam perlu diberi keutamaan untuk siasatan. Beliau menyatakan Kementah dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya terdedah, walaupun hampir semua kementerian terjejas pada tahap yang berbeza.
Urus niaga pertukaran tanah Kementah mula dibangkitkan secara terbuka pada 2018 apabila kerajaan mendedahkan satu jawatankuasa khas telah meneliti beberapa projek melibatkan pertukaran tanah persekutuan bagi pembinaan kemudahan ketenteraan.
Susulan dapatan jawatankuasa itu, Kementah membuat laporan kepada SPRM dan polis pada 2019.
Banyak pengaturan melibatkan rundingan terus dengan pemaju swasta dan merupakan sebahagian daripada program pertukaran tanah pertahanan yang lebih luas, melibatkan tanah pertahanan asal seperti Kem Kinrara di Selangor, kemudahan yang dibina di Sendayan, Negeri Sembilan, projek Kem Paloh di Kluang, Johor, serta tanah di Batu Uban dan Runnymede di Pulau Pinang.
Walaupun PAC meminta supaya laporan pertukaran tanah itu dinyahklasifikasikan pada Jun 2023, dapatan tersebut masih sulit.