Mahkamah benar Anwar dapatkan dokumen dari bekas pembantu

Mahkamah benar Anwar dapatkan dokumen dari bekas pembantu

Mahkamah Tinggi memutuskan salinan perbualan Whatsapp dan pengakuan bersumpah itu penting dalam menentukan kes saman itu.

Yusoff Rawther memfailkan saman terhadap Anwar Ibrahim bagi menuntut ganti rugi kerana mendakwa diserang secara seksual. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Anwar Ibrahim untuk mendapatkan salinan perbualan Whatsapp dan pengakuan bersumpah daripada bekas pembantunya Yusoff Rawther dalam kes saman terhadap beliau.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 mendakwa pemimpin itu menyerangnya secara seksual pada 2 Okt 2018. Yusoff kemudiannya membuat pengakuan bersumpah yang memperincikan kejadian itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Johan Lee memutuskan permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen itu mempunyai merit.

“Semua dokumen itu adalah berkaitan dan penting dalam menentukan kes tersebut,” kata Johan.

Mahkamah juga mengarahkan Yusoff membayar RM1,000 sebagai kos kepada Anwar dan menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 13 April ini.

Anwar yang juga perdana menteri membuat permohonan supaya Yusoff menyerahkan salinan perbualan Whatsapp mereka antara 2 Sept 2018 dan 5 Jun 2019.

Beliau juga meminta Yusoff menyerahkan pengakuan bersumpah yang bertarikh 19 Nov 2019 dan satu salinan laporan polis yang dibuat terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff menuduh Farhash menyerangnya pada Mei tahun itu yang menyebabkan beliau membuat laporan polis.

Dalam kenyataannya, Yusoff mendakwa Anwar menyerangnya secara seksual dan mencabulnya di rumah pemimpin itu di Segambut.

Yusoff juga mendakwa kesihatan mentalnya terjejas selepas dituduh berkonspirasi untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik Anwar.

Bekas pembantu itu menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan, bersama faedah dan kos perundangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.