Siti Kasim menang saman penahanan tak sah polis

Siti Kasim menang saman penahanan tak sah polis

Mahkamah Tinggi arah kerajaan bayar RM274,375 kepada aktivis itu dan anak guamnya.

Siti kasim
Mahkamah Tinggi memutuskan polis menyalahgunakan kuasa apabila menyerbu rumah peguam Siti Kasim tanpa asas undang-undang serta menceroboh hartanya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa polis telah menahan peguam Siti Kasim dan anak guamnya, Anis Nur Izzaty Ruslan, secara tidak sah pada Jun 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi memutuskan polis menyalahgunakan kuasa apabila menyerbu kediaman Siti tanpa sebarang asas undang-undang yang sah, selain melakukan pencerobohan ke atas hartanya.

Beliau turut memutuskan penahanan Siti atas dakwaan menculik dan menghalang penjawat awam tidak mempunyai asas perundangan.

Hakim memutuskan tiada unsur menghalang penjawat awam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang mensyaratkan berlakunya halangan secara fizikal atau penggunaan kekerasan jenayah.

Menurutnya, perlakuan secara lisan semata-mata atau keengganan mematuhi arahan tidak mencapai tahap diperlukan untuk kesalahan itu.

“Beliau ditahan kira-kira 17 jam, bermula 12.30 tengah malam hingga lewat petang 24 Jun 2018, sekali gus melanggar hak kebebasan diri di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Arziah turut menyatakan walaupun seorang majistret telah menolak permohonan reman polis pada 24 Jun, Siti hanya dibebaskan lewat petang hari yang sama.

Mahkamah juga mendapati Siti bertindak dalam kapasiti profesionalnya sebagai seorang peguam yang mewakili Anis.

Dalam penghakimannya, Arziah merujuk kepada Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Peranan Peguam yang melindungi mereka daripada pendakwaan atas tindakan diambil selaras pengiktirafan tugas profesional.

Mahkamah turut memutuskan penahanan Anis oleh polis antara 9 malam pada 23 Jun hingga 3 pagi keesokan harinya tidak sah kerana tiada asas undang-undang.

“Tindakan defendan telah melanggar hak kebebasan diri plaintif kedua di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Bukti salah laku dalam menjalankan tugas awam yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini adalah memuaskan,” katanya.

Arziah berkata pegawai yang terlibat bertindak dengan sikap tidak peduli secara melulu terhadap kesahan tindakan mereka.

Hakim mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM120,625 kepada Siti dan RM53,750 kepada Anis, selain ganti rugi teladan bersama berjumlah RM100,000 kepada kedua-dua plaintif.

Mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM50,000.

Dalam saman itu, plaintif menamakan 30 defendan, termasuk pegawai polis yang terlibat dalam serbuan berkenaan.

Pada 24 Jun 2018, Siti dilaporkan ditahan atas dakwaan menculik Anis, namun beliau menafikan dakwaan itu dengan menyatakan bahawa beliau telah menyelamatkan Anis daripada ibunya yang didakwa bersikap kasar.

Polis menyerbu kediaman Siti dan membawa Anis ke dalam tahanan susulan laporan oleh ibu Anis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.