Kongsi semula video fitnah, pemimpin Bersatu tuntut Adun Umno mohon maaf

Kongsi semula video fitnah, pemimpin Bersatu tuntut Adun Umno mohon maaf

Video itu didakwa kandungan sama yang kini jadi subjek saman difailkan R Sri Sanjeevan terhadap CheguBard.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan beri amaran kepada Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir agar tidak buat ‘konten murahan’.
PETALING JAYA:
Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan menuntut Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir memohon maaf kerana mengongsikan semula video siar langsung di Facebook yang didakwa memfitnahnya.

Video berkenaan didakwa merupakan kandungan sama yang kini menjadi subjek tuntutan saman difailkan Sanjeevan terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard ketika ini.

“Mahkamah Malaysia telah lama memutuskan bahawa setiap penerbitan semula fitnah adalah satu kausa tindakan yang baharu. Bukan ‘kongsi saja’, bukan ‘orang lain buat’, bukan ‘sekadar repost’. Tetap salah!

“Jangan paksa saya tambah satu lagi nama dalam senarai defendan. Maka saya tuntut Zaidy untuk padam segera video tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan.

Sanjeevan menambah, laporan polis dan tindakan sivil juga akan diteruskan sekiranya Zaidy gagal berbuat demikian, memberi amaran kepada Adun Umno itu agar tidak menerbitkan ‘konten murahan’.

Menerusi surat tuntutan bertarikh 28 Okt, Sanjeevan mendakwa Chegubard memfitnahnya dalam video siar langsung yang dimuat naik pada 12 Okt.

Sanjeevan mendakwa Badrul menggunakan gelaran yang menghina terhadapnya selain menuduhnya ‘membelanjakan banyak wang’ untuk ‘pejabat’ Muhyiddin Yassin dengan harapan untuk mempengaruhi presiden Bersatu itu.

Beliau menuntut ketua Bersatu Port Dickson itu menarik balik video berkenaan, mengeluarkan permohonan maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM1 juta atas kerosakan reputasi.

Zaidy mohon maaf, padam hantaran

Susulan amaran Sanjeevan, Zaidy mengeluarkan kenyataan memaklumkan beliau telah memadam hantaran dikongsinya di Facebook itu.

Beliau turut memohon maaf secara terbuka sekiranya kandungan itu ‘boleh menjejaskan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan melibatkan Sanjeevan dan Chegubard’.

“Pada ketika hantaran tersebut dibuat, saya tidak mengetahui bahawa kandungan perkongsian itu merupakan bahan yang berkaitan dengan kes mahkamah,” katanya menambah, beliau menghormati sepenuhnya proses perundangan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.