Kerajaan digesa tubuh siasatan baharu kematian Teoh Beng Hock

Kerajaan digesa tubuh siasatan baharu kematian Teoh Beng Hock

Yayasan Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi berkata kerajaan baharu perlu ada kemahuan politik untuk menyelesaikan isu sudah lama berlarutan itu.

Keluarga Teoh Beng Hock ketika hadir di Mahkamah Rayuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan yang menyokong keadilan untuk Teoh Beng Hock menggesa kerajaan menubuhkan satu pasukan siasatan baharu untuk menyiasat kematian bekas pembantu politik itu.

Pengerusi Yayasan Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi (TBHTD), Ng Yap Hwa berkata, kerajaan baharu perlu ada kemahuan politik untuk menyelesaikan isu sudah lama berlarutan itu.

“Susulan polis masih belum membuat sebarang keputusan berhubung siasatan semula kematian Teoh sejak 2018, TBHTD menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menubuhkan satu pasukan siasatan baharu untuk membuat siasatan menyeluruh,” kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa kementerian dalam negeri untuk memandang serius keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 2014 mahkamah itu memutuskan bahawa kematian Teoh adalah berpunca daripada perbuatan “seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali” termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoalnya semalaman sebelum Teoh ditemui mati.

Ng juga menggesa siasatan baharu kes itu ditumpukan pada semua sudut termasuk membunuh.

“Siasatan sebelum ini cuba untuk membuktikan Teoh membunuh diri,” katanya.

Ng juga mengingatkan Anwar bahawa beliau antara pemimpin politik yang berkumpul di ibu pejabat SPRM Selangor 14 tahun lalu bagi menuntut keadilan bagi Teoh.

“Mendedahkan kebenaran mengenai kematian Teoh dan mendakwa pelakunya akan memulihkan semula keyakinan awam pada Kementerian Dalam Negeri, polis dan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Teoh adalah pembantu kepada Exco Selangor ketika itu Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas mendiang datang ke ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 untuk disoal-siasat.

Satu suruhanjaya siasatan diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh merumuskan mendiang terdorong untuk membunuh diri akibat kaedah siasatan agresif oleh pegawai SPRM.

Siasatan juga menyalahkan tiga pegawai kerana kaedah agresif itu yang dikatakan melanggar prosedur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.