
Felix Tongkul berkata, lereng bukit akan terjejas dan menjadi lemah dalam pembangunan projek-projek ini.
Kundasang khususnya terdedah kepada tanah runtuh, katanya.
Beliau turut mengimbau kejadian tahun lepas di mana sebahagian besar tempat letak kenderaan di luar Taman Kinabalu runtuh ke dalam gaung.
Kundasang terletak kurang 100km dari Kota Kinabalu dan popular dalam kalangan pengunjung kerana iklimnya yang lebih sejuk.
“Kawasan Kundasang adalah salah satu kawasan paling aktif secara geologi di Sabah,” katanya.
“Justeru, sebarang pembangunan di kawasan ini, khususnya di lereng bukit yang curam, terdedah kepada tanah runtuh.”
Keruntuhan tempat letak kenderaan itu bukan satu-satunya kejadian tanah runtuh di Kundasang. Pada 2011, tanah runtuh yang lebih teruk memusnahkan sebuah pusat peranginan di lereng bukit, mengakibatkan lebih 100 orang terpaksa berpindah dari rumah mereka.
Susulan kejadian Jumaat lepas di Batang Kali, pihak berkuasa perlu lebih berusaha untuk mengawal dan memantau perkembangan di kawasan Kundasang, kata Tongkul.
“Kawasan berisiko tinggi harus dikenal pasti dan pembangunan di kawasan ini dihadkan. Pihak berkuasa juga harus mendidik masyarakat awam secara berterusan mengenai bahaya tanah runtuh,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Environmental Trust Rahimatsah Amat bercakap mengenai kelemahan penguatkuasaan terhadap penggunaan tanah di Sabah.
Beliau berkata, tanah runtuh hanyalah satu daripada banyak bencana yang dijangka berlaku di destinasi pelancongan Sabah, termasuk tapak perkhemahan di lokasi popular seperti Kiulu, Kota Belud dan Bundu Tuhan.
“Inap desa di tempat-tempat ini tidak dirancang,” katanya.
“Malah, bawah Akta Industri Pelancongan, binaan-binaan ini haram. Tapak perkhemahan dan binaan kekal tidak boleh dibina di sepanjang rizab sungai.”
Beliau berkata, lembaga pelancongan negeri memburukkan lagi keadaan dengan menggalakkan penduduk luar bandar melibatkan diri dalam pelancongan berasaskan komuniti dan dengan menyokong binaan haram yang dibina di rizab sungai dan tanah rizab negeri.
Bilangan pusat peranginan yang dikendalikan oleh keluarga, khususnya di Kundasang, meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas kerajaan Sabah melancarkan pelancongan berasaskan komuniti untuk menggalakkan penduduk tempatan memanfaatkan industri itu.
Bagaimanapun, timbul kebimbangan bahawa beberapa binaan ini tidak mempunyai permit yang diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan dan bomba.
Seluruh daerah Kundasang terdedah kepada gegaran kecil dan pergerakan tanah. Kira-kira 70% daripada 50 km persegi di sekitar bandar Kundasang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.