Saman Anwar tak jejas kerjasama negeri dengan pusat, kata Sanusi

Saman Anwar tak jejas kerjasama negeri dengan pusat, kata Sanusi

Menteri besar Kedah itu berpandangan kes saman itu tidak perlu melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghantar surat tuntutan kepada Sanusi Md Noor kerana mendakwanya “berperwatakan tidak bermoral”.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Noor berkata, kes saman Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadapnya tidak menjejaskan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

Sambil menyifatkan saman tersebut sebagai kes peribadi, Sanusi berkata, ia tidak perlu melibatkan perihal pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia hanya melibatkan kes peribadi. Tidak akan berlaku kerenggangan serta menjejaskan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

“Saya tidak meletakkan ia sebagai satu asbab untuk kita menjadi punca kepada perkara itu.

“Tak perlu…itu hal saya dengan beliau. Kalau beliau mengambil hal itu untuk menganaktirikan kita, saya rasa beliau ‘koyak’ lah.”

Selasa lalu, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi kerana mendakwanya “berperwatakan tidak bermoral”.

Dalam saman difailkan Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Anwar menuntut ganti rugi terhadap Sanusi kerana merosakkan reputasinya.

Sanusi didakwa telah membuat kenyataan itu pada satu ceramah menjelang PRU. Video ucapan berkenaan turut tersebar di Facebook.

Pada 17 Nov, Anwar menghantar surat tuntutan kepada pemimpin PAS itu supaya segera menarik balik ucapan yang disifatkannya berunsur fitnah.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Sanusi berkata, beliau tidak akan memohon maaf dan bersedia berdepan Anwar di mahkamah.

Anwar juga memohon injunksi terhadap Sanusi daripada mengeluarkan, menulis, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang disangkal itu yang dianggap berunsur fitnah.

Dalam pernyataan tuntutannya itu, Anwar mendakwa Sanusi membayangkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan Islam yang baik.

Anwar menerima pengampunan diraja penuh dari Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.