
Walaupun ada kebimbangan isu dalam negara dan tumpuan baharu AS terhadap situasi di Timur Tengah mungkin mengalihkan perhatian daripada rantau ini, Kagan menolak dakwaan Asia Tenggara sedang dipinggirkan.
“Tidak masuk akal jika kita hanya fokus kepada satu rantau dan mengabaikan yang lain. Bagi saya, rantau Asean dan Indo-Pasifik akan terus menjadi tumpuan utama pentadbiran AS,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.
Kagan berkata setiap kerajaan perlu mengimbangi pelbagai isu pada masa sama, dan beliau sedar negara-negara Indo-Pasifik mempunyai harapan tinggi terhadap AS.
“Seperti biasa apa sahaja yang AS lakukan mungkin masih dianggap belum mencukupi oleh negara-negara di rantau ini.
“Tapi perlu diingat, ini bukan soal menang atau kalah. Negara-negara seperti Malaysia juga mahukan keamanan dan kemakmuran di tempat lain,” katanya.

Selama bertahun-tahun, beberapa negara di rantau ini merasakan AS semakin berundur daripada peranan kepemimpinannya, terutama ketika perang dagang dan ketegangan keselamatan di Laut China Selatan meningkat.
Namun, Kagan berkata lawatan Presiden Donald Trump ke rantau ini, termasuk ke Malaysia, membuktikan komitmen AS untuk kekal terlibat di Asia.
Malah, AS sedang menjadikan Indo-Pasifik sebagai platform untuk rundingan perdagangan dua hala yang lebih kukuh.
“Lawatan ini bukan kerana krisis. Ia dilakukan kerana pertemuan secara langsung sangat penting untuk membolehkan AS memainkan peranan yang sewajarnya dalam rantau ini,” katanya.
Semasa lawatan itu, Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 sebelum ke Jepun dan Korea Selatan, dua sekutu utama AS.
Ketika berada di Kuala Lumpur, AS memeterai beberapa perjanjian perdagangan dengan Malaysia dan Kemboja, serta kenyataan bersama perdagangan dengan Thailand dan Vietnam.
“Dalam sejarah abad ke-21, aspek paling penting adalah peristiwa di Indo-Pasifik,” kata Kagan.
Hubungan Trump-Anwar
Hubungan Malaysia-AS mencapai tahap baharu bulan lalu apabila Anwar dan Trump menandatangani perjanjian menaik taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh.
Wisma Putra menyifatkan perjanjian itu sebagai satu pencapaian bersejarah sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1957 dan dinaikkan ke Perkongsian Komprehensif pada 2014.
Kagan berkata peningkatan hubungan itu turut dipengaruhi kerjasama kedua-dua negara dalam menyelesaikan ketegangan sempadan Thailand-Kemboja baru-baru ini.
“Bekerja bersama dalam satu masalah bersama telah menunjukkan kekuatan sistem kedua-dua negara,” katanya.
Beliau menambah, hubungan peribadi Anwar dan Trump juga jelas kelihatan semasa sidang kemuncak itu.
“Kedua-dua pemimpin benar-benar serasi, dan kita dapat lihat hubungan itu berkembang sepanjang lawatan itu.”
Kini dengan hubungan yang semakin kukuh, Kagan berkata langkah seterusnya adalah membina momentum tersebut.
“Ke mana kita hendak pergi selepas ini? AS perlu memikirkan bentuk hubungan yang mahu dibangunkan dengan Malaysia pada masa depan.
“Malaysia juga perlu memikirkannya.”
Beliau berkata kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dalam isu keselamatan maritim, mineral penting, dan sektor ekonomi baharu.
“Dalam bidang teknologi, digital dan kecerdasan buatan (AI), peluang kerjasama sangat besar. Ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara.”