
Perkembangan ini selepas Tei menuntut Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, memohon maaf kerana mendakwa Tei dalang di sebalik skandal perlombongan di Sabah.
Nizam berkata beliau menolak surat tuntutan (LOD) Tei melalui peguamnya, kerana komen beliau berdasarkan fakta, sebahagian besarnya adalah benar, dan dibuat demi kepentingan awam.
Pembantu menteri Sabah itu juga berkata Tei sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan menawarkan rasuah, disaman oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd atas dakwaan penipuan dan konspirasi untuk mencederakan dengan cara menyalahi undang-undang, dan dakwaan bahawa dirinya seorang ‘pemberi maklumat’ telah pun dinafikan.
“Prinsip asas adalah saman fitnah untuk melindungi reputasi. Memandangkan pertuduhan serius dan pengakuan undang-undang yang sudah menjadi rekod awam, maka dakwaan reputasi rosak ini tidak berasas.
“Sekiranya prosiding undang-undang dimulakan, kekurangan reputasi ini akan diadili sepenuhnya di mahkamah.
“Saya mengarahkan peguam untuk membela secara tegas terhadap sebarang tuntutan dan memfailkan saman balas sekiranya prosiding undang-undang dimulakan,” kata Nizam, yang Adun Apas selama dua penggal.
Bulan lalu, Nizam berkata tindak-tanduk Tei menimbulkan persoalan, seperti dakwaan pemalsuan dokumen sebagai jalan pintas mendapat kelulusan lesen.
Tei juga didakwa memohon lesen mencari gali melalui lebih 20 syarikat berbeza membabitkan kawasan seluas hampir satu juta ekar.
Dalam sebuah program audio siar baru-baru ini, Tei mendakwa pelaburan perlombongan mineral di Sabah satu penipuan didalangi ahli politik negeri itu. Dakwanya, lesen cari gali kononnya dikeluarkan untuk mengaut keuntungan melalui hubungan politik, bukan berdasarkan merit syarikat.
Ahli perniagaan itu menghantar LOD kepada Nizam pada 27 Okt, menuntut kenyataan ditarik balik, dan meminta FMT menurunkan artikel berkaitan yang memetik pemimpin GRS itu.
Beliau menafikan kenyataan Nizam, mengatakan ia sangat tidak tepat, mengelirukan, dan memutarbalikkan fakta dan keadaan sebenar.