
Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, majoriti 16,260 undi yang dicapai calon PN Azman Nasrudin mengatasi pencabarnya, Sofee Razak daripada Pakatan Harapan (PH) telah dijangka, mengambil kira prestasi baik PN yang memenangi 73 kerusi pada PRU15
PN kini memenangi 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, termasuk Langkawi.
“Sentimen Islam masih kuat, terutamanya apabila PAS mentadbir negeri,” kata Azman.
Beliau berkata, PN bekerja keras untuk membuktikan bahawa “pasukan” PAS dan Bersatu mempunyai peluang yang lebih baik di Padang Serai, terutamanya dengan bantuan daripada kerajaan negeri PAS.
Mengulas mengenai kemenangan Johari Hussain untuk Barisan Nasional (BN) dalam perebutan kerusi DUN Tioman malam tadi, Azman berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Johari telah menjadi ADUN kawasan itu sejak 2008.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura juga berkata, keputusan di Padang Serai selaras dengan trend pilihan raya keseluruhan pada PRU15, iaitu “dominasi PAS di wilayah utara”.
Sementara itu, pengguna media sosial memberitahu PH supaya tidak mengambil mudah keputusan pilihan raya semalam, memandangkan PRN akan berlangsung tahun depan di negeri yang diterajui PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, serta negeri yang dikuasai PH, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengguna Twitter @ChanKobrick berkata, PKR patut mulai bimbang tentang peluangnya mengekalkan kerusi di Pulau Pinang dan Selangor.
Seorang lagi pengguna Twitter, @hisyamghazali91 berkata, kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti menunjukkan prestasi yang baik dan menangkis naratif yang disebarkan oleh PN dengan segera menjelang PRN.
“(PH) kena sedia secepat mungkin,” tambahnya.