Kalau Mamdani tanding PRU kita amacam?

Kalau Mamdani tanding PRU kita amacam?

Di Malaysia, ramai orang sambut baik kemenangan Mamdani sebagai datuk bandar New York. Adakah kerana Mamdani orang Islam dan orang Asia?

Mohsin Abdullah

Ada dua sebab mengapa tidak perlu saya huraikan kebaikan agenda dan kehebatan Zohran Mamdani untuk dibentang pada penulisan ini. Satu — terlalu banyak ciri. Dua — semua orang sudah tahu.

Lantas sekadar untuk suka-suka saja, bermain di kepala saya ialah andaian Mamdani rakyat Malaysia, dan menjadi ahli politik, serta bertanding dalam pilihan raya kita. Boleh menang tak dengan gaya, ketrampilan, watak serta agenda yang menyaksikan beliau dipilih jutaan warga New York untuk jadi datuk bandar Selasa lalu?

Logiknya boleh, memandangkan banyak perkara bagus yang dianjur Mamdani di samping perwatakannya sendiri. Tetapi saya tertanya-tanya akan beberapa hal yang pelik tetapi pernah dan masih terjadi di negara ini, terutama semasa kempen pilihan raya.

Mamdani seorang socialist democrat. Tak ke nanti musuh politiknya yang terpaling nasionalis (boleh juga dibaca: terpaling Melayu) akan menuduhnya seorang komunis? Ramai orang Melayu sememangnya menyamakan sosialis dengan komunis. Sejak berzaman Melayu juga lihat golongan haluan kiri komunis, mungkin penjajah Inggeris mengajar begitu.

Come to think of it Donald Trump juga tuduh Mamdani seorang komunis. Tetapi itu di AS, dan ini andaian Mamdani warga Malaysia maka aspek Trump tidak masuk dalam jalan cerita artikel ini.

Sambung semula andaian ini, di samping kumpulan politikus terpaling Melayu, yang terpaling Islamis pun saya kira akan tumpang tuduh Mamdani komunis. Tujuan menakut-nakutkan orang Melayu sekali gus dapat undi mereka.

Bagi orang Melayu, golongan komunis tak percaya wujudnya tuhan. Ini pantang besar — tak boleh diterima sama sekali oleh orang Melayu yang berpegang kuat pada Islam dan kepercayaan Tuhan itu memang ada. Lalu bagi Melayu, komunis wajib ditolak meskipun ada orang Melayu mengamalkan Islam dalam Rejimen 10 Parti Komunis Malaya.

The fact that Mamdani is a Muslim akan tentu diketepikan oleh musuhnya. Oleh kerana Mamdani orang Syiah, si terpaling Islamis akan pasti jadikan isu. Pucuk dicita ulam mendatang gamaknya.

Satu lagi modal politik (meski pun murahan) ialah jika Mamdani warga Malaysia ini buat apa Mamdani warga AS buat sewaktu menemui para penyokong, yakni tunduk kepala ketika masyarakat Kristian mendoakan kemenangannya, dan move to the beat ikut irama muzik yang dimainkan DJ di kelab malam bersama penyokong muda. Saya pasti musuh politik akan mencanang, maklumlah mereka kan terpaling Islamis?

Mamdani memperjuangkan hak dan kebajikan golongan pendatang. Beliau sendiri pendatang iaitu keturunan India Gujarat yang dilahirkan di Kampala, Uganda. Beliau migran yang memberi wajah kepelbagaian. Politikus terpaling nasionalis pula memang gemar jadikan soal pendatang sebagai isu. Dituduh mereka tidak setia kepada negara, mahu kuasai pemerintahan negara, mengancam Islam dan Melayu, segala macam tuduhan yang saya kata liar.

Pendatang tetap dianggap pendatang meskipun dilahir dan dibesarkan di negara ini. Begitu juga ayah, ibu, datuk dan nenek mereka.

Mamdani memperjuangkan hak saksama semua pihak. Kalau dalam konteks Malaysia, yang berkulit gelap dan yang mata sepet semuanya sama buat Mamdani. Begitu juga golongan LGBT. Beliau tidak prejudis. Bagi politikus kategori terpaling itu dan ini semua itu khususnya soal LGBT adalah isu cukup menggiurkan.

Kita tahu isu yang disenaraikan ini (yang sebenarnya bukan isu tetapi sengaja dijadikan isu) memang kegemaran politikus golongan terpaling gunakan untuk pancing undi, terutama undi Melayu. Agenda Mamdani memperjuangkan dasar perumahan mampu milik, pengangkutan awam percuma, penjagaan kanak-kanak universal, dan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya akan mereka remehkan jika tidak ketepi atau sembunyikan. Begitu juga hasrat Mamdani jadi suara golongan tertindas dan minoriti, serta agenda progresif dan konsep affordability. Semua politikus terpaling itu dan ini akan atau cuba tutup. Juga diselindungi peringatan Mamdani bahawa demokrasi melindungi setiap warga negara — baik yang majoriti mahu pun yang minoriti.

Di Malaysia, orang Melayu majoriti dan ramai orang menyambut baik kemenangan Mamdani sebagai datuk bandar New York. Gembira, bangga meraikan seakan mereka warga kota raya AS itu. Adakah kerana semata-mata Mamdani orang Islam dan orang Asia?

Atau lebih daripada itu, yakni orang Melayu bergembira kerana kemenangan Mamdani simbol politik baharu dunia? Jika ini sebabnya, saya kira politik yang dibawa politikus terpaling tidak akan ditelan lagi.

Berbalik kepada realiti untuk mengakhiri artikel ini. Mamdani warga AS bukan Malaysia. Lalu saya bertanya siapa Mamdani kita?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.