Proses tender 5G telus, kata DNB

Proses tender 5G telus, kata DNB

DNB komited bekerja dengan kerajaan, dan akan memberi kerjasama penuh bagi memudahkan semakan itu.

Digital Nasional memberikan kontrak kepada Ericsson tahun lalu untuk pelancaran teknologi baharu.
PETALING JAYA:
Proses tender untuk pelancaran rangkaian 5G negara dilakukan secara telus, dan diuruskan firma perakaunan terkemuka, kata Digital Nasional Bhd, syarikat kerajaan yang mengendalikannya.

Syarikat itu berharap semakan diarahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menjelaskan keadaan seterusnya membolehkan pelaksanaan penuh rangkaian 5G itu.

Terdahulu hari ini Anwar berkata beliau telah mengarahkan semakan terhadap pelaksanaan 5G yang didakwanya “tidak dilakukan secara telus, tanpa tender sewajarnya”.

Kontrak 5G dianggarkan bernilai RM11 bilion itu diberikan oleh DNB kepada syarikat telekomunikasi Sweden, Ericsson, Julai tahun lalu.

DNB berkata proses tender telah diuruskan firma perakaunan global terkemuka, Ernst & Young, dan “dilaksanakan secara telus”.

“DNB berharap semakan seperti dicadangkan perdana menteri itu, akan membolehkan pelaksanaan penuh pelancaran 5G untuk memanfaatkan negara,” katanya dalam kenyataan.

“DNB komited bekerja dengan kerajaan, dan akan memberi kerjasama penuh bagi memudahkan semakan ini.”

DNB yang dimiliki penuh kerajaan bertanggungjawab bagi membina dan menguruskan rangkaian 5G, serta menjadi pembekal tunggal perkhidmatan 5G.

Celcom Axiata, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mula menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.