
Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim, berkata keputusan panel mahkamah atasan terdahulu untuk menyemak semula hukuman tersebut disifatkan sama seperti campur tangan dalam proses pengampunan.
“Ia sama seperti mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang mempunyai bidang kuasa berasingan daripada mahkamah,” katanya dalam membenarkan semakan pihak pendakwaan di bawah Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan mengetepikan keputusan majoriti 2-1 dikeluarkan tahun lalu.
Che Ruzima, yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik, berkata terdapat siri pengisytiharan kehakiman yang menyatakan keputusan Lembaga Pengampunan tidak boleh diadili, justeru tidak boleh dilayan mahkamah.
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh mempengerusikan panel berkenaan yang turut merangkumi Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi.
Pada 27 Ogos 2024, Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman penjara 30 tahun yang dikurang seperti dikenakan ke atas tiga banduan kerana kesalahan pengedaran dadah — G Jiva, 56, warga Thailand Phrueksa Thaemchim, 42, dan warga Zambia Mailesi Phiri, 48 — sepatutnya berkuat kuasa dari tarikh penangkapan mereka.
Dalam berbuat demikian, panel tiga anggota diketuai Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, yang kini bersara, telah membatalkan perintah Lembaga Pengampunan Kedah, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan yang menetapkan tempoh hukuman penjara trio itu, sepatutnya berkuat kuasa daripada tarikh hukuman mati mereka yang diringankan.
Panel lain bersidang ialah Hakim Hanipah Farikullah dan Hakim Nordin Hassan. Nordin membuat keputusan menentang.
Pihak pendakwaan memfailkan permohonan semakan atas alasan hakim dalam keputusan majoriti telah bertindak melangkaui bidang kuasa di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) untuk menyemak keputusan Lembaga Pengampunan.
Ruzima dalam keputusannya hari ini, berkata pembacaan lahiriah Seksyen 2(1) dan 4(1) Akta 847 hanya membenarkan banduan yang sedang menjalani hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat sahaja layak untuk semakan di bawah undang-undang sementara itu.
Beliau berkata, Jiva, Phrueksa, dan Mailesi, yang hadir di hadapan lembaga masing-masing, telah diringankan hukuman mati mereka kepada penjara seumur hidup, bermula dari tarikh perintah pengampunan mereka.
“Justeru, status mereka sebagai banduan hukuman mati telah diubah dan mereka tidak boleh hadir ke mahkamah di bawah Akta 847 untuk meminta tempoh penjara mereka bermula dari tarikh penahanan mereka,” katanya.
Wan Farid, dalam penghakiman tambahannya, berkata semuanya tidak hilang bagi ketiga-tiga banduan itu kerana mereka boleh membuat permohonan lain di hadapan Lembaga Pengampunan masing-masing untuk semakan semula hukuman.
“Ini dibenarkan di bawah Kaedah 54 dan 113 Perintah dan Peraturan-peraturan Penjara 2000,” katanya, sambil menambah terdapat duluan oleh Lembaga Pengampunan Pulau Pinang untuk menyemak semula keputusannya sendiri.
Wan Farid, berkata peguam negara sebagai ahli kepada semua Lembaga Pengampunan di negara ini, boleh memberikan nasihatnya untuk dipertimbangkan sewajarnya terhadap permohonan baharu ketiga-tiga banduan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Tetralina Ahmed Fauzi, Solehah Noratikah Ismail, dan Arif Aizuddin Masrom hadir bagi pihak pendakwaan.
Peguam K Simon Murali mewakili Phrueksa dan N Sivananthan mewakili Jiva, manakala Abdul Rashid Ismail bertindak bagi pihak Mailesi.
Pada perbicaraan sebelum ini, kira-kira 120 banduan lain berdepan dilema sama seperti dihadapi ketiga-tiga pemohon dalam kes tersebut.