KPT hantar dua anak muda wakili Malaysia ke Parlimen Belia Komanwel

KPT hantar dua anak muda wakili Malaysia ke Parlimen Belia Komanwel

Ahmad Alif Amri Ahmad Kawazi dan Siti Jamila Syuhada Jailani tampil berpakaian tradisional mencuri tumpuan media tempatan.

Ahmad Alif Amri Ahmad Kawazi, 29, dan Siti Jamila Syuhada Jailani, 22, tampil dengan baju Melayu dan baju kurung di Persidangan Parlimen Belia Komanwel ke-11.
REPUBLIK TRINIDAD:
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghantar dua anak muda mewakili Malaysia ke Persidangan Parlimen Belia Komanwel ke-11 di Republik Trinidad dan Tobago.

Ahmad Alif Amri Ahmad Kawazi, 29, dan Siti Jamila Syuhada Jailani, 22, mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Remote Work Bill 2022 (rang undang-undang kerja jarak jauh 2022) bersama 54 wakil belia dari negara Komanwel lain.

Persidangan tiga hari itu berlangsung di bangunan parlimen republik kepulauan di ibu negaranya, Port of Spain, dari 20 hingga 24 November. Ia dirasmikan Speaker Dewan Senat, Bridgid Annisette-George.

Alif dan Jamila dipilih Persatuan Parlimen Komanwel Malaysia ke persidangan itu, berdasarkan latarbelakang dan penglibatan aktif mereka dalam komuniti dan organisasi, kata KPT.

Alif dan Jamila terpilih kerana konsisten dan aktif dalam komuniti dan organisasi.

“Penganjuran persidangan ini bertujuan memberi pendedahan kepada belia mengenai amalan demokrasi dan politik berparlimen.

“Peserta juga berpeluang melibatkan diri dalam sesi kaukus dan perbincangan bersama mentor-mentor ahli parlimen belia daripada negara tuan rumah mengenai pengalaman politik dan demokrasi berparlimen selain peranan media dalam politik.”

Sidang sebulat suara meluluskan usul yang dibentangkan dengan pindaan mengenai pengurangan hari bekerja kepada empat hari seminggu dan pelaksanaan bekerja dari rumah.

Alif dan Jamila yang tampil dengan baju Melayu dan baju kurung ketika menyertai perbahasan mencuri tumpuan media tempatan.

Kedua-dua mereka sudah pun selamat kembali ke tanah air pada 26 November lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.