
Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, berkata ia salah satu daripada tiga perkara penting digariskan dalam Kongres Nasional PKR hari ini.
“Menuju 24 bulan sebelum PRU, di mana kita mahu garap sepenuhnya kuasa dan suara wanita dan anak muda,” katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.
Nurul Izzah berkata, perkara penting digariskan hari ini adalah mengenai bagaimana PKR boleh melakukan reformasi dalaman bagi menyediakan parti supaya lebih kalis cabaran masa depan.
“Mahu tak mahu cabaran sebuah kerajaan parti haruslah kekal utuh dan pertingkatkan kekuatan idealisme.
“Saya fikir semangat yang utama kepada semua bertanding yang menang dan tak menang kali ini apa pun kita harus pertahankan dan jaga semangat setiakawan kita,” katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah memuji tindakan bekas setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang meluahkan isi hatinya di depan perwakilan parti.
“Bagi saya…Alhamdulillah Saifuddin ada peluang berucap. Saya rasa hari ini kadang-kadang luahkan dalam hati kita dan lebih mudah sebegitu.
“Bukan sahaja hari ini kita mahu setiap orang di peringkat pusat, negeri dan cabang kita bertemu…muhasabah, menegur sama lain dan sentiasa cuba garap segala usaha,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin yang berucap di Kongres Nasional PKR atas kapasiti sebagai setiausaha agung Pakatan Harapan berkata beliau mengakui takut kehilangan Rafizi Ramli dalam parti.
Menteri dalam negeri berkata, perasaannya bercampur-baur usai pengumuman keputusan pemilihan jawatan timbalan presiden yang memihak kepada Nurul Izzah, semalam.
Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi sekali gus diumumkan pemenang dalam persaingan satu lawan satu merebut jawatan timbalan presiden.