
PETALING JAYA: Seramai 78,883 calon berjaya mendapat tawaran pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2025/2026, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
KPT dalam kenyataan berkata jumlah itu merangkumi 71.8% daripada 109,866 permohonan yang diterima menerusi UPUOnline.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 1,132 program pengajian ijazah sarjana muda ditawarkan bagi sesi kali ini.
“Kemasukan pelajar dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” katanya.
Bagi calon yang tidak berjaya, KPT membuka proses rayuan melalui UPUOnline selama 10 hari bermula 5 Sept hingga 5 petang 14 Sept.