Nancy seru wujud ekosistem sokong anak muda bina keluarga

Nancy seru wujud ekosistem sokong anak muda bina keluarga

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata suara anak muda perlu diangkat kerana ramai berhasrat berkahwin dan bina keluarga, namun berdepan kekangan.

Nancy Shukri berkata isu kependudukan perlu dilihat sebagai krisis semasa yang memerlukan tindakan dasar inklusif dan progresif, sejajar perubahan demografi serta harapan generasi muda.
KUALA LUMPUR:
Dasar berkaitan keluarga perlu berteraskan ekosistem menyokong keperluan generasi muda dan bukan sekadar seruan untuk mereka segera berkeluarga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Beliau berkata, suara anak muda perlu diangkat kerana ramai dalam kalangan mereka masih berhasrat untuk berkahwin dan membina keluarga, namun berdepan pelbagai kekangan seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, kekurangan akses penjagaan anak dan kebimbangan terhadap masa depan.

“Maka, penyelesaian diperlukan ialah ekosistem yang menyokong, bukan sekadar seruan untuk berkeluarga dengan segera,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Penduduk Sedunia 2025, hari ini.

Nancy berkata, isu kependudukan pada masa ini perlu dilihat sebagai krisis semasa memerlukan tindakan dasar inklusif dan progresif, sejajar perubahan demografi serta harapan generasi muda.

Malaysia kini mencatatkan kadar kesuburan jumlah (TFR) 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak, selain kadar kelahiran juga menurun lebih 11% pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Sempena Hari Penduduk Sedunia yang disambut 11 Julai setiap tahun, tema 2025 bertajuk “Memperkasa golongan muda untuk membentuk keluarga mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan” dipilih bagi menekankan keperluan mendengar suara dan keperluan anak muda.

KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menzahirkan komitmen untuk terus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kependudukan, termasuk hak kesihatan reproduktif, perubahan demografi, kesejahteraan keluarga dan pembangunan mampan.

Seiring dengan itu, kementerian menumpukan pelaksanaan strategi menyeluruh bagi menyokong perancangan keluarga golongan muda, antaranya melalui subsidi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) kepada 1,300 pasangan suami isteri layak, kemudahan penjagaan anak serta cuti ibu bapa lebih fleksibel.

Acara kemuncak sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 akan diadakan 21 Julai ini (Isnin) di Lanai Kijang, Bank Negara di ibu negara dengan kerjasama Jabatan Perangkaan, Universiti Malaya (UM) dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA).

Selain itu, sambutan turut diperluas ke peringkat negeri sepanjang bulan ini dan Ogos melalui penganjuran seminar bertemakan kependudukan dan keluarga yang digerakkan pejabat negeri LPPKN bersama rakan strategik di seluruh negara.

Maklumat lanjut sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 boleh diperoleh melalui www.lppkn.gov.my serta https://mprh.lppkn.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.