5 ditahan bakar mercun, cetus kekacauan pada hari undi

5 ditahan bakar mercun, cetus kekacauan pada hari undi

Polis membuka 501 kertas siasatan berkaitan kesalahan kempen dan hari mengundi PRU15 di seluruh negara bermula 4 Nov lepas sehingga semalam.

Empat individu ditahan di Negeri Sembilan dan seorang di Selangor kerana membakar mercun serta menimbulkan kekacauan dengan menjatuhkan peti undi semalam.
KUALA LUMPUR:
Polis membuka 219 kertas siasatan dan menahan lima individu atas pelbagai kesalahan pilihan raya serta pada hari pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Hazani Ghazali berkata, di Negeri Sembilan, tiga tangkapan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, iaitu dua di Seremban dan satu di Port Dickson.

“Dalam kejadian di Seremban, dua lelaki tempatan ditahan kerana membakar mercun di luar kawasan Dewan Orang Ramai Kelab Tuanku Mambau pada 7.45 malam, manakala seorang lelaki ditahan kerana membakar mercun di hadapan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

“Satu lagi tangkapan di Seremban dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (1) Akta Pilihan Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan berada berhampiran kawasan pengiraan undi di Dewan Bandaraya Seremban,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan ditahan di Selangor kerana menimbulkan kekacauan dengan menjatuhkan peti undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Yam Lama semasa proses pengundian berlangsung.

“Bagaimanapun, peti undi di saluran 3 itu tidak mengalami sebarang kerosakan dan lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) (I) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Kecil 1955.”

Secara keseluruhan, Hazani berkata, 501 kertas siasatan dibuka polis berkaitan kesalahan kempen dan hari mengundi PRU15 di seluruh negara bermula 4 Nov lepas sehingga semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.