
Setakat pagi ini, seramai 3,196 mangsa banjir berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri, iaitu Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.
Berikutan situasi itu, kempen beberapa calon serta ceramah politik membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) dilaporkan terpaksa ditangguhkan seketika, memaksa gerak kerja kempen kini disesuaikan mengikut keadaan semasa dengan mendahulukan bantuan kepada rakyat yang terjejas.
Beberapa calon dilihat mengharungi air banjir untuk bertemu dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk calon PH Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar.
Beberapa calon di Selangor turut terpaksa menangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir, antaranya calon BN Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin yang menangguhkan kempennya seketika.
Calon PH bagi Parlimen Gombak, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, dan calon PN bagi Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, juga antara yang dilihat membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pertengahan November dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan yang berisiko mendatangkan hujan lebat sehingga menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah, selain fenomena air pasang besar yang melanda kawasan pantai antara November dan Januari tahun depan.
Situasi cuaca tidak menentu menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga meletakkan anggota bersama aset bantuan di beberapa lokasi bencana untuk memantau keadaan semasa terutama di persisiran pantai dan sungai.
“Bomba akan siap siaga berdasarkan keadaan cuaca seperti air hujan bertakung atau kenaikan paras air. Kita akan gunakan aset seperti bot dan lori pengangkut untuk sebarang kemungkinan,” kata Pengarah JBPM negeri Norazam Khamis.
Di Pahang, calon BN bagi Parlimen Raub Chong Sin Woon berkata, MCA mempunyai pasukan khas yang bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu masyarakat di kawasan berisiko banjir, menunaikan kewajipan mengundi.
Beliau mengakui situasi banjir atau hujan lebat pada hari pengundian 19 Nov ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi.
“Untuk menarik pengundi, kita boleh hantar kenderaan dan menyediakan peralatan seperti payung dan sebagainya. Kita dah siap sedia perkara itu,” katanya.
Calon PH di DUN Ketari, Pahang, Thomas Su Keong Siong juga berpandangan peratusan keluar mengundi akan turun mendadak jika berlakunya banjir.
Bagi meringankan beban rakyat, katanya, PH akan mengutamakan aspek membantu mangsa banjir terlebih dahulu.
“Kalau kita tidak membantu sebaliknya suruh mereka mengundi, itu mementingkan diri,” katanya.
Di Kelantan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jentera BN bersedia dengan peralatan seperti bot, keperluan makanan dan sebagainya bagi membantu pihak berkuasa dalam operasi penyelamatan dan perpindahan mangsa banjir.
Turut menyatakan kesediaan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab menjelaskan bahawa seramai 1,349 anggota APM bersama logistik seperti 14 buah lori dan 78 buah bot sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir termasuk pada hari pengundian.
Di Terengganu, 30 lokasi berisiko banjir telah dikenal pasti di empat daerah, iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.
Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan barangan keperluan dan makanan buat mangsa banjir kali ini.