
Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad mengumumkan perkara itu ketika membentangkan manifesto BN Perak di dataran Bandar Meru Ray, di sini.
Beliau berkata, inisiatif di bawah teras “kestabilan politik itu” bagi memastikan setiap lapisan rakyat terbela tanpa mengira latar belakang politiknya.
“BN Perak bertekad untuk memastikan kestabilan kerajaan sentiasa diutamakan bagi membolehkan ekonomi berkembang, pekerjaan dicipta, pelabur dibawa masuk dan membina naratif politik baharu yang menjamin kestabilan demi kesejahteraan rakyat dan negeri Perak,” katanya.
Beliau turut berikrar akan meminda enakmen Enakmen Perlembagaan negeri bagi melantik ADUN dari kumpulan minoriti dan golongan belia sekiranya mendapat mandat dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Malah, beliau juga berikrar akan membawa Enakmen Anti Lompat Parti ke DUN selaras dengan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan.
Bagi menggilap potensi kepimpinan anak muda, Saarani yang juga calon menteri besar Perak BN berkata seorang penasihat menteri besar akan dilantik dalam kalangan belia, mewujudkan program perantis Perak sejahtera yang akan melatih anak-anak muda dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Secara umumnya, manifesto BN Perak bertemakan “Kestabilan Demi Kesejahteraan” didukung lima usaha, disulami empat fokus dan menggariskan 75 inisiatif yang akan dilaksanakan sebaik saja mendapat mandat rakyat dalam PRU15.
Lima usaha itu adalah kestabilan politik; kepimpinan dan pentadbiran yang berintegriti dan cekap; kesejahteraan ekonomi; kemakmuran sosial dan pemerkasaan belia.