
Beliau menjelaskan sedemikian menjawab gesaan pemimpin PAS agar Umno ‘meninggalkan’ DAP bagi menjayakan agenda ‘Rumah Bangsa Umno’
Mohamad berkata, keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) menyertai kerajaan perpaduan dibuat demi kepentingan negara ketika Malaysia berdepan tempoh lima hari tanpa kerajaan selepas PRU15.
“Bukan kita bersama DAP. Kita buat perjanjian untuk mengurus negara. Umno dan BN berjanji kerana kita mahu selamatkan negara, kerana ketika itu selepas pilihan raya, Malaysia tidak mempunyai kerajaan,” katanya kepada pemberita di tepian Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Beliau mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Che Sulaiman bahawa usaha Umno menyatukan orang Melayu di bawah agenda ‘Rumah Bangsa’ hanya boleh berjaya jika parti itu tidak bekerjasama dengan DAP.
Beliau mendakwa, hal ini kerana tiada orang Melayu boleh menerima agenda DAP.
Mohamad turut mendedahkan, dua hari selepas PRU15, beliau sendiri mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, namun usaha itu gagal.
“Apabila PN menolak titah Yang di-Pertuan Agong, kami dipanggil. Keutamaan kami ketika itu ialah kesejahteraan negara kerana negara tanpa kerajaan amat tidak baik,” katanya.
Beliau menegaskan, penyertaan Umno dalam kerajaan bukan dibuat secara membuta tuli, sebaliknya dengan garis merah yang jelas.
“Kita bukan saja ‘sorong tengkuk’. Ada ‘red line’ (syarat) yang kita letak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberikan peringatan kepada rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan agar tidak mengambil mudah kedudukan Umno.
“Walaupun kita berada dalam Jemaah Menteri yang sama, jangan ambil mudah Umno,” katanya.