PN dialu-alukan ‘cuba nasib’ sertai kerajaan, namun jangan lupa sejarah PRU15, kata Kamil

PN dialu-alukan ‘cuba nasib’ sertai kerajaan, namun jangan lupa sejarah PRU15, kata Kamil

Ketua Pemuda PKR ulas cadangan Shahidan Kassim mahu PN bentuk muafakat politik baharu dengan BN, PKR.

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata, tiada halangan jika PN kini mahu bersama kerajaan Madani.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) dialu-alukan ‘mencuba nasib’ menyertai barisan pentadbiran kerajaan Madani demi kestabilan politik negara, kata Ketua Pemuda PKR Kamil Munim.

Beliau bagaimanapun mengingatkan gabungan itu tentang sejarah penolakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan susulan PRU15, yang menyaksikan mereka memilih menjadi pembangkang sehingga kini.

“Tak salah Shahidan nak berangan-angan cuba nasib. Cuma saya nak ingatkan PN telah jauh terlebih dahulu menolak permuafakatan besar yang pernah ditawarkan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk bentuk kerajaan perpaduan.

“Namun tiada halangan jika PN hari ini mahu bersama kerajaan Madani bagi membentuk muafakat lebih besar bagi mengukuh kestabilan politik negara. Dialu-alukan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan pemimpin PAS Shahidan Kassim supaya PN yang memiliki 74 kerusi Parlimen membentuk muafakat politik baharu bersama BN dan PKR, yang masing-masing memegang kira-kira 30 kerusi,

Cadangan itu muncul susulan ketegangan antara Umno dan DAP selepas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Yeo Bee Yin, memuat naik hantaran yang disifatkan pemimpin Umno sebagai ‘kurang ajar’ berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan rumah.

Bekas menteri DAP itu menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai antara ‘sebab untuk raikan hujung tahun ini’, kenyataan yang mencetuskan kemarahan pemimpin Umno.

Pada Nov 2022, Sultan Abdullah menitahkan PN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk kerajaan berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada mana-mana parti politik memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak PN, yang berpegang kepada pendirian tidak akan bekerjasama dengan PH.

Pada PRU15, PN memenangi 73 kerusi Parlimen, kebanyakannya oleh PAS, manakala PH 82 kerusi dan Barisan Nasional dengan 30 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.