Jangan ulang silap PRU15 pertaruh KJ di Kedah, kata penganalisis

Jangan ulang silap PRU15 pertaruh KJ di Kedah, kata penganalisis

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata Kedah lebih cenderung kepada gaya kepimpinan yang dekat dengan jiwa rakyat dan mesra warung kopi.

khairy jamaluddin
Kelmarin, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah Mohd Safwan Jaafar berkata Barisan Nasional (BN) negeri itu memerlukan figura seperti Khairy Jamaluddin untuk kebangkitan politik.
PETALING JAYA:
Cadangan mempertaruhkan bekas menteri Khairy Jamaluddin sebagai figura Umno di Kedah dikhuatiri memakan diri, kata penganalisis yang memberi amaran supaya kesilapan pada PRU15 tidak diulangi.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata pengalaman Khairy bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 sepatutnya menjadi pengajaran bahawa meletakkan tokoh berprofil tinggi di kawasan yang tidak serasi dengan imej dan pendekatan politiknya merupakan strategi rapuh.

Menurut penganalisis dari Global Asia Consulting itu, Kedah bukan medan politik urban yang meraikan wacana reformasi atau retorik intelektual, sebaliknya lebih dekat dengan kepimpinan yang mudah didekati dan mesra warung kopi.

“Khairy dengan imej populis-intelek dan gaya metropolitan lebih serasi di kawasan urban atau separa urban, bukan di gelanggang politik majoriti Melayu luar bandar yang lazimnya lebih skeptikal terhadap pemikiran progresif beliau.

“Membawa beliau ke Kedah hanya akan menyerlahkan ketidakserasian budaya politik. Ia bukan sekadar soal personaliti, tetapi soal denyut nadi pengundi yang menilai keakraban lebih daripada visi global,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah Mohd Safwan Jaafar dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) negeri itu memerlukan figura seperti Khairy bagi memacu semula kebangkitan politik.

Beliau berkata ideologi serta pemikiran bekas menteri kesihatan itu berupaya merangsang perubahan dalam cara fikir rakyat Kedah.

Khairy pernah mewakili Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022. Pada PRU15, beliau dipindahkan Umno untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, R Ramanan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata negeri di bawah blok SG4, termasuk Kedah, mempunyai semangat kenegerian yang kuat dalam menentukan penerimaan terhadap calon.

Menurutnya, Khairy ialah ‘calon universal’ yang lebih sesuai untuk menarik sokongan pengundi muda di kawasan bandar dan pinggir bandar, tanpa dibebankan sentimen kenegerian.

“Walaupun seperti KJ diletakkan di Kedah, ia tidak sesuai. Malah jika diletakkan di Kepala Batas sekali pun tetap tidak sesuai walaupun beliau ada pertalian kekeluargaan yang kuat di sana (menantu kepada Abdullah Ahmad Badwi).

“Watak seperti beliau perlu diletakkan di kawasan yang lebih terbuka, di mana pengundinya tidak terlalu terikat dengan kecenderungan memilih berdasarkan kenegerian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.