Saya dah latih pengganti di Santubong, kata Wan Junaidi

Saya dah latih pengganti di Santubong, kata Wan Junaidi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau telah melatih penggantinya untuk menjadi "seperti beliau" malah mencadangkan individu terbabit sebagai calon.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak akan bertanding pada PRU15 selepas mewakili Santubong selama empat penggal.
PETALING JAYA:
Penyandang Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau sudah mempersiapkan penggantinya namun tidak membantah pemilihan calon lain untuk bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Wan Junaidi berkata, beliau melatih penggantinya itu untuk menjadi “seperti beliau” malah mencadangkan individu terbabit sebagai calon, menurut Bernama.

“Tetapi pada akhirnya, parti yang perlu membuat keputusan. Apabila parti tidak pakai (pilihan saya), saya tidak boleh membantah,” katanya hari ini.

Wan Junaidi yang mewakili kawasan berkenaan selama empat penggal diminta mengulas keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meletakkan Nancy Shukri bertanding di kerusi itu.

Beliau berkata, sebagai ahli parti beliau menerima keputusan dibuat presiden Abang Johari Openg berhubung pencalonan Nancy.

Wan Junaidi yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata tiada pihak memaksanya untuk tidak bertanding dalam PRU15 melainkan beliau sendiri.

Beliau menyifatkan pengundurannya turut membuka peluang kepada lebih ramai calon wanita daripada PBB untuk ditampilkan dalam PRU15 memandangkan pengganti Nancy di Batang Sadong juga merupakan calon wanita merujuk kepada Rodiyah Sapiee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.