Jika ditawar jadi calon, saya hanya mahu Ketereh, kata Annuar Musa

Jika ditawar jadi calon, saya hanya mahu Ketereh, kata Annuar Musa

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu berkata ia menjadi prinsipnya untuk berkhidmat di tempat kelahirannya dan tidak mahu berpindah ke kawasan lain.

Annuar Musa berkata beliau tetap memilih untuk menawarkan diri berkhidmat di tempat kelahirannya di Parlimen Ketereh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Annuar Musa bertegas tidak mahu bertanding di kawasan lain sekiranya ditawarkan menjadi calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Annuar yang juga anak kelahiran Ketereh berkata ia menjadi prinsipnya untuk tidak akan berpindah kawasan biarpun pernah tewas di kerusi itu sebelum ini.

“Saya sudah buat keputusan sejak dahulu lagi, tak mahu bertanding di tempat lain, sebab prinsip saya mahu berkhidmat di tempat saya dilahirkan, walaupun melihat orang sekarang berpindah-randah.

“Cara politik adalah masing-masing. Ada sesetengah orang setiap penggal berpindah, namun saya memilih untuk menawarkan diri berkhidmat di tempat kelahiran dan Umno bahagian yang saya pimpin.

“Kalau nak suruh saya bertanding di Kuala Lumpur ke, kampung isteri saya ke, itu bukan prinsip saya,” katanya pada sidang media selepas melawat Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Peringat, di sini, hari ini, menurut Berita Harian.

Mengulas sama ada kekal bertanding di kerusi Parlimen Ketereh, Annuar berkata beliau sendiri tidak tahu dan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Seperti yang saya kata di Ketereh kita ikut perlembagaan di mana kita di peringkat bahagian sudah mencadangkan nama calon dan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri sebelum dirujuk kepada pusat.

“Mengikut perlembagaan jika mereka mahu memilih calon lain iaitu bukan senarai yang kita cadangkan, parti hendaklah berunding semula dengan bahagian berkenaan.

“Setakat ini tiada berunding semula dan saya kira nama yang dicadang itu dipertimbangkan. Terima atau tidak saya serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti akan memastikan calon yang dipilih nanti pemimpin berdisiplin tinggi dan tidak besar kepala, Annuar berkata pendirian itu adalah hak presiden.

“Saya fikir sebagai presiden beliau berhak menyatakan dasar yang beliau mahukan. Kita tidak ada masalah kerana apa yang penting, calon yang boleh membawa kemenangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.