KPM, KPT teliti aspek teknikal wajib bahasa Melayu, sejarah

KPM, KPT teliti aspek teknikal wajib bahasa Melayu, sejarah

Tumpuan diberi pada aspek penilaian pembelajaran, peperiksaan dan pemantauan kualiti melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah persendirian Cina.

Zambry Abd Kadir
Menteri Zambry Abd Kadir kata siri perbincangan dengan pihak berkaitan susulan keputusan mewajibkan mata pelajaran BM dan sejarah bagi semua aliran pendidikan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti aspek teknikal susulan keputusan mewajibkan mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah mengikut kurikulum kebangsaan bagi semua aliran pendidikan.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata tumpuan diberikan pada aspek penilaian pembelajaran, peperiksaan dan pemantauan kualiti yang melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah persendirian Cina.

Beberapa siri perbincangan diadakan termasuk pertemuan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat serta wakil sekolah antarabangsa.

“Dalam pertemuan tersebut, KPM membincangkan mengenai ketetapan untuk pelajar di sekolah yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan menduduki bahasa Melayu dan sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“KPM akan memaklumkan mengenai keputusan rasmi perkara yang dibangkitkan bersama semua pihak yang terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi KPT di Dewan Rakyat.

Bagi KPT, Zambry berkata sesi libat urus diadakan pada 4 Feb lepas antaranya bersama persatuan sekolah antarabangsa Malaysia, jawatankuasa pendidikan daripada Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), Help International Schools Group dan Sunway International Schools serta Taylor’s Education Group.

Menerusi sesi itu, beliau berkata sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina memaklumkan telah menyediakan laluan peperiksaan SPM bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Lebih 87% pelajar sekolah persendirian Cina mengambil peperiksaan SPM,” katanya.

Berhubung perubahan struktur program matrikulasi dan Tingkatan 6, KPT dan KPM sedang melihat urusan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.

Zambry berkata jawatankuasa pemandu bersama antara KPT dan KPM ditubuhkan pada 19 Dis lepas untuk menilai semua aspek berkaitan termasuk pengoptimuman sumber sedia ada bagi kedua-dua program tersebut.

KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau Tingkatan 6 dan matrikulasi bermula tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.