Cadangan ART di Putrajaya tak diteruskan kerana kos tinggi

Cadangan ART di Putrajaya tak diteruskan kerana kos tinggi

Kajian mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta untuk 10 tahun.

Perbadanan Putrajaya tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran untuk fasa seterusnya. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak meneruskan cadangan penyediaan perkhidmatan trem tanpa landasan atau kenderaan transit aliran automatik (ART) di Putrajaya susulan kos pelaksanaan terlalu tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Lo Su Fui, berkata hasil kajian awal mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun.

“Kos ini di luar kemampuan kewangan PPj sebagai pihak berkuasa tempatan. Atas dasar tersebut, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran untuk fasa seterusnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Lo berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian sistem ART di Putrajaya memandangkan fasa rintisan telah dijalankan sebelum ini, serta perincian pelan peluasan jajaran fasa seterusnya bagi memastikan ketersambungan peringkat awal dan akhir.

Bagaimanapun, beliau berkata PPj sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam pada masa depan, tertakluk kepada kemampuan kewangan dan kelulusan peruntukan, khususnya bagi mencapai sasaran 70% penggunaan mod pengangkutan awam.

Menjawab soalan tambahan Zaliha mengenai model pembiayaan alternatif termasuk kerjasama awam-swasta dalam menampung kos pelaksanaan ART, Lo berkata semua keputusan dibuat berpandukan kepada penilaian menyeluruh meliputi kos, faedah, risiko serta kemampuan fiskal semasa.

Beliau berkata dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya, PPj melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk penyediaan Bas NadiPutra di tujuh laluan yang beroperasi setiap hari, selain penggunaan teksi air sebagai antara mod pengangkutan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.