
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai menutup peluang golongan kurang berkemampuan untuk menceburi profesion undang-undang.
Kulasegaran berkata program yang diperkenalkan sejak 1970-an itu bertujuan memberi ruang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kewangan ke universiti awam atau institusi di luar negara untuk bergelar peguam.
Beliau menjawab cadangan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) supaya program tersebut dimansuhkan kerana menganggap ia tidak lagi relevan dengan lambakan lepasan ijazah sarjana muda undang-Undang (LLB) masa kini, mencecah 1,000 orang setahun.
“Mungkin YB orang kaya, boleh pergi ke Universiti Malaya atau luar negara. Bagaimana dengan orang miskin? Adakah mereka tidak perlu dijaga? Ini adalah satu peluang untuk mereka.
“Adakah ia satu monopoli supaya hanya lulusan universiti sahaja yang layak ke mahkamah? Kerajaan Madani berfikir di luar kotak dan YB sepatutnya berjuang untuk orang miskin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Program kerani berartikel merujuk kepada laluan latihan praktikal di firma guaman bagi individu yang belum mengambil ijazah undang-undang sepenuh masa tetapi layak melalui kelayakan tertentu.
Program itu diwujudkan oleh Parlimen sebagai tiga daripada enam fungsi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) di bawah Seksyen 5(a), (b) dan (c) Akta Profesion Undang-Undang, yang memberi pendedahan sebenar terhadap kerja guaman, membolehkan latihan dibimbing oleh peguam kanan dan menjadi laluan alternatif untuk memasuki profesion guaman.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata LPQB bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji penambahbaikan serta pembangunan kurikulum bagi laluan kerani berartikel.