Jangan biar ketetapan hierarki parti jatuhkan kita, wakil Umno beri amaran

Jangan biar ketetapan hierarki parti jatuhkan kita, wakil Umno beri amaran

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Hassan berkata, pemimpin tertinggi parti itu tidak perlu berkompromi dengan ketetapan dalam memilih calon terbaik.

Delegasi di Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda Umno merayu kepada pemimpin dan ahli parti supaya terbuka dengan prospek untuk mempunyai calon pilihan raya yang mungkin bukan dalam hierarki bahagian atau negeri.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Hassan berkata, pemimpin tertinggi parti itu tidak perlu berkompromi dengan ketetapan dalam memilih calon terbaik.

Semua ketua Umno negeri telah diminta untuk menghantar senarai calon mereka untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada Nov 19 ini. Hampir kebiasaannya, calon adalah ketua bahagian.

“Lazimnya, pemegang jawatan di Umno bahagian membuat senarai pendek bagi setiap kawasan. Ini sudah menjadi kebiasaan. Dan terdapat banyak tekanan kepada pemimpin atasan untuk menampung permintaan daripada bahagian.

Wan Agyl Hassan.

“Akhirnya, orang yang boleh menjadi calon yang baik mungkin tidak mendapat kerusi untuk ditandingi. Kes Isham Jalil mungkin contoh terbaik,” kata Wan Agyl kepada FMT.

Beliau merujuk laporan bahawa Isham, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, mungkin tidak dicalonkan pada PRU15. Isham menjadi antara pemimpin paling lantang dalam parti tetapi tidak menyandang sebarang jawatan di peringkat bahagian.

“Jangan biarkan hierarki jatuhkan kita,” kata Wan Agyl. “Realitinya, zaman sudah berubah.

“Di negara lain, terdapat pemisahan antara kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan. Mereka dalam hierarki parti tidak semestinya dalam kerajaan. Jadi parti berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan. Ia mempunyai insentif yang paling banyak untuk berbuat demikian. Jika tidak, ia akan ditolak pada pemilihan akan datang.”

Beliau memetik contoh kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang bukan presiden partinya, Umno.

Katanya, dalam keadaan sedemikian, parti itu boleh, misalnya, mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas sebab-sebab tertentu.

“Sekiranya presiden parti adalah perdana menteri, siapa yang akan mempersoalkan apa saja yang kerajaan lakukan? Dan akhirnya anda akan kehilangan pandangan tentang realiti di lapangan. Kami telah mendapat pengajaran ini daripada PRU14.”

Wan Agyl berkata Umno kini mempunyai peluang untuk menunjukkan komitmennya bagi melakukan pembaharuan dengan mendorong agenda pemisahan politik dan tadbir urus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.