
Kehadiran bekas Ahli Parlimen Rembau di tengah-tengah spekulasi beliau akan menyertai semula Umno selepas dipecat pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti.
Sebelum ini, media melaporkan Khairy dijangka menyertai semula parti itu menjelang PRN Sabah 29 Nov.
Khairy hadir sebagai panelis bagi forum ‘Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di mana terletaknya pejabat Umno pusat.
Hadirin dalam forum tersebut kelihatan teruja dengan kemunculan bekas ketua Pemuda Umno itu, dengan ada antara mereka berdiri dan berulang kali melaungkan ‘hidup Khairy’ dan memberikan tepukan gemuruh setiap kali bekas menteri belia dan sukan mengemukakan cadangan.
Dalam forum itu, Khairy mencadangkan beberapa usaha membantu meringankan tugas guru antaranya menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) bagi penyediaan bahan mengajar dan urusan pemarkahan pelajar.
Di akhir acara, Khairy merakamkan penghargaan kepada Akmal yang sudi mengundangnya ke majlis itu.
Akmal menyambut penghargaan itu dengan menyifatkan jemputan kepada Khairy demi masa depan Umno.
“Berani (anjurkan program ini) kerana masa depan negara dan berani jemput KJ demi masa depan Umno,” katanya yang turut menerima tepukan gemuruh hadirin.
Sementara itu, ketika ditemui selepas program, Khairy hanya menjawab ringkas ‘bila sampai masa saya akan maklumkan pada media’, apabila ditanya mengenai perkembangan surat permohonan untuk menyertai semula Umno.
Dalam sidang media berasingan, Akmal berkata pihaknya mengalu-alukan semula kehadiran ahli yang masih setia dengan perjuangan parti, termasuk mereka yang pernah digantung atau dipecat.
Katanya, sejak tahun pertama memimpin sayap Pemuda, beliau konsisten menekankan Umno tidak boleh terus berpecah dan perlu disatukan bagi memastikan kekuatan parti terus terpelihara.
“Kenapa nak gaduh lama-lama saya kata. Jadi biarlah kita bersatu, bertaut, yang penting Umno ini boleh dibawa ke depan,” katanya ketika ditanya perkembangan penyertaan Khairy.