
Gerakan Malaysia Tolak Tambak berkata, 20 projek penambakan aktif berskala besar dan pulau buatan, sama ada dicadangkan atau tergendala, termasuk perlombongan pasir, memberi kesan negatif yang tidak dapat dipulihkan kepada alam sekitar pada kemuncak perubahan iklim.
“Projek ini bertujuan menswastakan kawasan perikanan kepada pemaju hartanah dan spekulator untuk kepentingan peribadi.
“Mereka menafikan hak nelayan mencari rezeki dan penduduk tinggal di kawasan pantai mungkin diusir dari komuniti mereka,” kata gabungan itu dalam kenyataan.
“Selain kesan negatif kepada nelayan, semua projek ini kurang telus dari sudut kos dan faedah awam.”
Kumpulan itu turut mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk mengiktiraf komuniti pantai serta warisan mereka dan memulihkan segera ekosistem marin.
NGO terbabit mengadakan persidangan di Pulau Pinang hari ini yang dihadiri lebih 60 persatuan alam sekitar dan kumpulan mewakili nelayan, antaranya Persatuan Nelayan Kebangsaan.
Ketua kumpulan itu, Hamid Bahari berharap kerajaan persekutuan baharu akan mengambil perhatian terhadap isu itu kerana kerja penambakan laut mengancam mata pencarian nelayan.