Pemimpin Bersatu pertikai cadangan jambatan Melaka-Indonesia

Pemimpin Bersatu pertikai cadangan jambatan Melaka-Indonesia

Ketua pembangkang Melaka Dr Yadzil Yaakub mempersoalkan kemampuan kewangan kerajaan negeri dan pulangan daripada projek itu.

Mohd Yadzil Yaakub
Ketua pembangkang Melaka Dr Yadzil Yaakub turut bimbang kesan alam sekitar projek itu terhadap pesisir pantai Melaka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua pembangkang Melaka, Dr Yadzil Yaakub mempersoalkan cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Melaka dengan Indonesia yang dalam kajian kerajaan negeri.

Walaupun projek sedemikian tidak mustahil dilaksanakan, pemimpin Bersatu itu bagaimanapun mempersoalkan jika kerajaan Melaka mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai kos yang disifatkannya tidak realistik.

Menurutnya, kutipan hasil kerajaan negeri setiap tahun terhad, dengan hampir semuanya digunakan untuk perbelanjaan mengurus dan ia masih berhutang kepada beberapa pihak, termasuk kerajaan persekutuan.

“Jika hutang sedia ada pun belum mampu diselesaikan, bagaimana kerajaan mahu meyakinkan rakyat bahawa hutang baharu bernilai berbilion ringgit boleh diurus dengan berhemah?

“Hakikatnya, perbelanjaan pembangunan Melaka sangat bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan. Nak membaiki jalan negeri pun masih memerlukan tongkat pusat, bagaimana pula mahu membiayai jambatan berpuluh kilometer merentasi Selat Melaka?

“Dalam keadaan hutang negara yang semakin meningkat dan tekanan fiskal berterusan, adalah tidak wajar mengharapkan kerajaan persekutuan menanggung beban projek mega baharu yang pulangannya masih kabur,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, cadangan jambatan sejauh lebih 47km itu akan menghubungkan Pengkalan Balak di Masjid Tanah ke Indonesia.

Kajian projek itu akan bermula bulan depan, dengan kerajaan negeri membelanjakan RM500,000 untuk sebuah firma perunding mengkaji aspek teknikal, ekonomi dan logistik cadangan berkenaan.

Susulan penukaran 5,000 hektar tanah di Masjid Tanah kepada kawasan perindustrian baharu, Rauf berkata, jambatan itu akan memberi impak positif besar kepada ekonomi Melaka.

Yadzil bagaimanapun berkata, melaksanakan projek itu melalui inisiatif pembiayaan atau konsesi swasta akan menyebabkan kadar tol tinggi dan berisiko menjadi projek gajah putih.

Katanya, kawasan Indonesia yang akan dihubungkan jambatan itu bukan pusat ekonomi utama dan mungkin memberi pulangan minimum kepada Melaka.

“Dan apabila konsesi gagal, kerajaan juga yang terpaksa menyelamatkannya menggunakan wang rakyat. Dalam semua senario, rakyat tetap menjadi mangsa terakhir.”

Adun Bemban itu turut bimbang dengan kesan alam sekitar projek berkenaan terhadap pesisir pantai serta rekod projek gagal kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.