Keberdayaan projek mega Sarawak turut bergantung faktor tempatan, kata penganalisis

Keberdayaan projek mega Sarawak turut bergantung faktor tempatan, kata penganalisis

Kekurangan bakat, permintaan rendah dan kos tinggi boleh menjejaskan keberdayaan pembinaan lapangan terbang baharu, sistem pengangkutan awam dan pelan gas negeri.

kuching airport
Menampung tujuh juta penumpang tahun lalu, pembinaan lapangan terbang baharu Sarawak dijangka mampu menampung 15 juta penumpang namun wujud kebimbangan ia tidak digunakan sepenuhnya.
PETALING JAYA:
Penganalisis menggesa kerajaan Sarawak menjalankan penilaian lebih berhati-hati terhadap keberdayaan projek mega selepas Premiernya Abang Johari Openg, mengumumkan semakan dasar pembangunan susulan cabaran global.

Inisiatif utama seperti cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu, sistem pengangkutan awam moden dan pengembangan industri gas negeri berdepan risiko akibat tarif era pentadbiran Presiden Donald Trump dan kejatuhan harga minyak.

Namun begitu, pakar mengingatkan faktor tempatan juga perlu dinilai semula dengan teliti bagi memastikan kejayaan jangka panjang projek terbabit.

Kekurangan bakat

Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di ADA Southeast Asia, memberitahu FMT ketersediaan bakat antara kebimbangan utama harus menjadi perhatian kerajaan Sarawak.

“Salah satu risiko utama dikaitkan dengan projek mega Sarawak, seperti Air Borneo dan Petros, adalah kekurangan bakat untuk peranan utama serta tenaga kerja am.

“Rakyat Malaysia dari luar Sarawak sentiasa perlu mendapatkan permit untuk bekerja di sana,” katanya.

Asrul berkata kekurangan sumber manusia boleh mengganggu kerja pembinaan dan menimbulkan cabaran besar terhadap operasi serta kerja penyelenggaraan jangka panjang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri melonggarkan dasar imigresen bagi memudahkan kemasukan tenaga kerja berbakat dari luar Sarawak.

Pengunaan lapang terbang tidak optimum

Permintaan rendah dan penggunaan tidak optimum turut menjadi kebimbangan utama terhadap projek infrastruktur Sarawak yang disifatkan ‘bercita-cita tinggi’, menurut perunding kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman.

Beliau berkata lapangan terbang baharu yang dicadangkan, bertujuan menjadikan Sarawak hab penerbangan serantau, direka untuk menampung sehingga 15 juta penumpang setahun.

“Pengembangan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk merangsang pelancongan dan perjalanan perniagaan, meningkatkan hubungan dan pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau mengakui pengembangan itu diperlukan selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menghampiri kapasiti maksimum dengan kira-kira tujuh juta penumpang tahun lalu.

Namun, dengan perbelanjaan dijangka RM100 bilion bagi lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, Samirul berkata langkah berhati-hati diperlukan agar kedua-duanya digunakan secara optimum.

“Tetapi kapasiti baharu dicadangkan jauh melebihi penggunaan semasa, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kemungkinan tidak digunakan sepenuhnya,” katanya.

Kos tinggi ART

Projek RM6 bilion untuk Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching turut menimbulkan kebimbangan. Sistem pengangkutan awam berkuasa hidrogen ini disasarkan meliputi 70km dengan tiga laluan dan 31 stesen dalam fasa pertama, dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

“Walaupun pengangkutan berkuasa hidrogen adalah inovatif, ia membawa cabaran dari segi infrastruktur, kos dan penyelenggaraan,” kata Samirul.

Adun Pending Violet Yong sebelum ini mempersoalkan peruntukan RM6 bilion itu termasuk RM2.5 bilion untuk kerja tanah sahaja, dengan merujuk kepada kos tinggi bahan api hidrogen dan penamatan perkhidmatan kenderaan serupa di tempat lain atas faktor keberdayaan.

Berucap pada sidang DUN Sarawak pada November 2023, Yong berkata:

“Negeri ini membayar sebuah syarikat dari China untuk mengeluarkan kenderaan bagi Sarawak, tetapi syarikat itu telah menghentikan pengeluaran bagi pasaran China mereka disebabkan faktor kos kerana bahan api hidrogen amat mahal dihasilkan seperti berlaku di seluruh dunia.”

Kebimbangan terhadap pelan gas

Pelan Hala Tuju Gas Sarawak 2030, satu lagi projek mega negeri, turut berdepan isu keberdayaan jika tidak dilaksanakan dengan baik.

Susulan perjanjian dengan Putrajaya, negeri itu akan menerima 1.2 bilion kaki padu gas asli setiap hari daripada Petronas untuk menjana kuasa bagi industri tempatan.

Namun, pakar memberi amaran projek itu memerlukan pelaburan modal besar dalam loji dan saluran paip, dengan RM65 bilion diperlukan untuk membiayai infrastruktur dan industri hiliran.

“Kejayaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak akhirnya bergantung kepada selera pelabur asing,” kata seorang penganalisis industri yang enggan dikenali.

“Negeri ini tidak mampu menanggung pelaburan sebesar itu secara bersendirian.”

Samirul memberi amaran pelaburan besar dalam tenaga dan infrastruktur mungkin menyebabkan sektor lain ‘terkorban’ yang dibimbangi mengehadkan kepelbagaian ekonomi lebih luas.

Pembiayaan projek

Ketika ini, negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri menanggung kos projek-projek mega itu sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan ekonomi jangka panjang.

“Projek-projek ini membolehkan negeri membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong objektif ekonomi dan potensi pertumbuhannya.

“Namun, walaupun pentadbiran semasa mempunyai matlamat ekonomi yang tinggi, infrastruktur negeri masih belum selaras dengan aspirasi tersebut,” kata Asrul.

Beliau menyatakan bahawa kemakmuran ekonomi penting untuk memperkukuh usaha Sarawak mencapai autonomi politik, terutamanya dalam keadaan landskap politik nasional yang berpecah-belah.

“Tetapi negeri ini tidak boleh mengambil mudah keputusan pilihan raya umum akan datang adalah cerminan pilihan raya lalu. Keputusan masa hadapan mungkin kurang berpecah, sekali gus boleh mengurangkan kuasa tawar-menawar Sarawak,” katanya.

Asrul berkata kemungkinan besar Sarawak akan banyak bergantung kepada hasil minyak dan gas untuk membiayai projek mega ini.

Sehingga 2024, syarikat minyak nasional Petronas telah menyumbang RM96 bilion kepada perbendaharaan Sarawak, tidak termasuk pelaburan huluan dan pembangunan infrastruktur bernilai RM280 bilion.

Jumlah itu dijangka meningkat dengan ketara selepas Putrajaya bersetuju melantik Petros sebagai pengumpul gas domestik.

Selain itu, kerajaan persekutuan, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), telah meluluskan geran khas RM600 juta kepada Sarawak.

Ia juga telah memperuntukkan tambahan RM5.9 bilion dalam dana pembangunan di bawah Belanjawan 2025.

Namun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada November tahun lalu mendedahkan Sarawak hanya membelanjakan 54.43% daripada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, di bawah purata kebangsaan iaitu 65.83%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.